AKPS tidak sentuh Hak Sabah, Sarawak di bawah MA63 – Saifuddin

AKPS tidak sentuh Hak Sabah, Sarawak di bawah MA63 – Saifuddin

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak akan menjejaskan kuasa serta hak istimewa Sabah dan Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jaminan itu telah diberikan kepada kedua-dua kerajaan negeri sebelum Rang Undang-Undang AKPS diluluskan di Parlimen.

Menurut beliau, AKPS yang mula beroperasi pada 1 Januari 2025 hanya menyelaraskan agensi Persekutuan di pintu masuk negara tanpa mengambil alih bidang kuasa negeri, termasuk aspek perjawatan, sumber manusia dan hasil negeri.

Beliau turut menegaskan kuasa imigresen Sabah, termasuk arahan sekatan kemasukan atau “not to land” oleh Ketua Menteri Sabah, kekal dilaksanakan menerusi mekanisme sedia ada melibatkan Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata beberapa pintu masuk utama di Sabah kini diselia AKPS, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan serta dermaga di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Lahad Datu dan Kuala Sipitang.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan, termasuk permintaan agar pintu masuk tertentu terus dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia dan perkara itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri telah meluluskan peruntukan segera RM22 juta bagi memperkukuh keselamatan AKPS dengan kelengkapan dan persenjataan yang sesuai susulan insiden ancaman terhadap pegawai agensi itu di Bukit Kayu Hitam.

Saifuddin berkata, AKPS yang menyelaraskan lebih 20 agensi di pintu masuk negara mampu mengurangkan birokrasi, meningkatkan integriti serta memperkukuh kawalan sempadan.

Beliau menegaskan kerajaan bersedia meneliti sebarang pindaan jika diperlukan bagi memastikan objektif penubuhan AKPS tercapai tanpa menjejaskan hak dan bidang kuasa Sabah serta Sarawak.