TAWAU – Kreativiti warga SK Sungai Tongkang, Tawau mendapat pujian ramai apabila menghasilkan sebuah video pendek yang sarat dengan mesej pendidikan dan nilai integriti sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Video berkenaan mengisahkan perjalanan seorang murid yang bakal dilantik sebagai pengawas sekolah, namun berdepan satu situasi luar jangka yang mampu mengubah masa depannya serta memberi kesan kepada persekitaran sekolah.

Dengan hanya RM10, murid tersebut diuji dengan satu pilihan yang kelihatan kecil, namun membawa implikasi besar terhadap prinsip, kejujuran dan amanah yang dipegang.
Lebih daripada sekadar jalan cerita, video itu mengangkat isu budaya rasuah yang perlu dibendung sejak usia muda. Mesej yang disampaikan jelas mengingatkan bahawa amalan tidak berintegriti bukan bermula dengan nilai yang besar, sebaliknya boleh bermula daripada perkara yang dianggap remeh jika tidak ditangani sejak awal.

Penceritaan yang ringkas tetapi menyentuh hati menjadikan video itu bukan sahaja sesuai ditonton oleh warga sekolah, malah seluruh lapisan masyarakat kerana nilai yang dibawa amat relevan dalam membentuk generasi berintegriti demi masa depan negara.
Orang ramai disarankan untuk menonton video penuh tersebut bagi mengetahui bagaimana pengakhiran kisah murid berkenaan dan mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh pihak sekolah.
Video pendek Sk Sungai Tongkang, Tawau boleh ditonton melalui pautan di bawah:
https://www.facebook.com/reel/
Syabas dan tahniah kepada SK Sungai Tongkang, Tawau atas usaha menghasilkan karya kreatif yang bukan sahaja bersempena Bulan Kebangsaan, malah berjaya menyampaikan mesej besar mengenai pentingnya menolak rasuah, memelihara integriti dan mempertahankan nilai kejujuran sejak di bangku sekolah.
Usaha seperti ini wajar diberikan sokongan dan penghargaan kerana membuktikan institusi pendidikan bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah medan terbaik untuk membentuk sahsiah serta melahirkan generasi yang berintegriti demi Malaysia yang lebih cemerlang.