KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu perkembangan positif di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di Malaysia.
Beliau berkata langkah itu penting bagi membolehkan mereka menilai semula serta mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan situasi keselamatan semasa, yang menyaksikan tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di kawasan berkenaan sejak Januari 2020.
Menurutnya, penilaian semula itu mampu meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Sabah, khususnya ke destinasi pelancongan di Pantai Timur negeri.
Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Saifuddin Nasution Ismail di Menara Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya keadaan keselamatan di ESS Zone berada pada tahap baik dan terkawal.
“Baru-baru ini saya sendiri melawat enam buah pulau di perairan Sabah bagi meninjau pos-pos kawalan serta melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya.
Hajiji berkata, ketiadaan kes penculikan untuk wang tebusan selama enam tahun merupakan satu pencapaian penting hasil komitmen Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota dan agensi keselamatan atas dedikasi serta pengorbanan mereka dalam memastikan keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur terus terpelihara.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan bagi meningkatkan keupayaan operasi, aset, kesiapsiagaan serta kebajikan anggota keselamatan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.