Pan Borneo Sabah : Tidak adil salahkan Kerajaan Negeri Sabah sepenuhnya – Salleh

Pan Borneo Sabah : Tidak adil salahkan Kerajaan Negeri Sabah sepenuhnya – Salleh

KOTA KINABALU – Kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A bukan hanya melibatkan satu pihak, sebaliknya merangkumi pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan yang memerlukan penyelarasan antara agensi.

Ketua Merinyu Projek, Salleh Said Keruak, berkata tidak adil untuk meletakkan keseluruhan kesalahan kepada Kerajaan Negeri Sabah kerana pelaksanaan projek itu turut melibatkan kerajaan persekutuan, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti.

Dalam kenyataan beliau bertajuk Pan Borneo Sabah: Cari Penyelesaian, Bukan Saling Menyalahkan, beliau menjelaskan bahawa kelewatan projek perlu ditangani melalui penyelesaian terhadap masalah pelaksanaan, bukannya dengan menyalahkan satu pihak semata-mata.

Menurut Salleh, lebih 70 peratus projek berkenaan melibatkan kerja pelebaran jalan Persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat lorong.

Kerja tersebut, katanya, bukan mudah kerana turut melibatkan pengambilan tanah, bangunan, kawasan penempatan penduduk serta pemindahan utiliti.

Beliau berkata antara cabaran utama yang menyumbang kepada kelewatan ialah perubahan reka bentuk asal yang tidak sepenuhnya menepati keadaan sebenar di tapak.

Perubahan itu memerlukan penelitian dan penyelarasan pelbagai perunding serta pakar teknikal yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

Perubahan reka bentuk libatkan kos dan kelulusan

Salleh menjelaskan bahawa perubahan reka bentuk boleh menyebabkan pertambahan kos, sekali gus memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada KKR dan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya, proses kelulusan yang panjang turut menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek.

Bagi mengelakkan kelewatan berulang, beliau mencadangkan supaya KKR dan MOF menyediakan mekanisme kelulusan yang lebih cepat dan jelas, khususnya berkaitan Arahan Perubahan Kerja (VO) serta pelarasan had kewangan.

Katanya, mekanisme tersebut wajar dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui perjanjian tambahan supaya proses berkaitan perubahan kerja dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Semua pihak perlu bertanggungjawab

Salleh menegaskan bahawa pelaksanaan Pan Borneo Sabah memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat, dengan setiap pihak dinilai berdasarkan bidang kuasa dan tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, perunding, kontraktor dan syarikat utiliti mempunyai peranan dalam memastikan projek berjalan lancar.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa tumpuan perlu diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah yang menjejaskan kemajuan projek, bukannya menjadikan satu pihak sebagai sasaran kesalahan.

Menurutnya, rakyat Sabah mahu melihat lebuh raya berkenaan disiapkan, justeru kerjasama lebih erat, keputusan lebih pantas dan proses kelulusan lebih cekap diperlukan.

Salleh menegaskan bahawa keutamaan semua pihak perlu jelas, iaitu mengurangkan kelewatan, mempercepatkan pelaksanaan dan memastikan projek Pan Borneo Sabah dapat disiapkan demi kepentingan rakyat.