Sabah-Indonesia Perkukuh Hubungan, Penerbangan Tawau-Tarakan Dicadang Dihidupkan Semula

Sabah-Indonesia Perkukuh Hubungan, Penerbangan Tawau-Tarakan Dicadang Dihidupkan Semula

TAWAU – Hubungan Sabah dan Indonesia terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam bidang pelancongan, kebudayaan dan ekonomi, dengan usaha meningkatkan akses perhubungan Tawau-Tarakan menjadi antara perkara yang diberi perhatian.

Konsul Republik Indonesia (RI) di Tawau, Bapak Dino Nurwahyudin, berkata hubungan antara kedua-dua wilayah mempunyai keistimewaan tersendiri, terutama dari aspek kedekatan geografi, persamaan budaya serta aliran pelancong yang tinggi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Wonderful Indonesia yang dianjurkan Konsulat Republik Indonesia di Tawau.

Bapak Dino menyampaikan ucapan ketika program berlangsung

Menurutnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha tahunan kerajaan Indonesia untuk mempromosikan keindahan alam, kebudayaan serta produk makanan dan hasil kreativiti Indonesia kepada masyarakat antarabangsa.

Antara kelainan pada penganjuran kali ini ialah penglibatan Dian Pelangi, pengusaha batik yang dikenali di Malaysia, bagi memperkenalkan seni batik yang dihasilkan secara tradisional menggunakan teknik lukisan tangan dan bukan cetakan.

Dino berkata, pihaknya berharap penglibatan pengusaha Indonesia dalam program seperti itu dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama dengan pengusaha di Sabah pada masa akan datang.

Penerbangan Tawau-Tarakan mahu dihidupkan semula

Dalam pada itu, beliau berkata aspek akses perhubungan antara Tawau dan Tarakan perlu terus diperkukuhkan bagi memudahkan pergerakan masyarakat serta meningkatkan hubungan ekonomi dan pelancongan antara Sabah dengan wilayah Kalimantan.

Katanya, sebelum pandemik COVID-19, terdapat penerbangan terus antara Tawau dan Tarakan, namun perkhidmatan berkenaan terhenti selepas pandemik.

Bapak Dino dan YB Dr. Andi Shamsureezal ketika ditemuramah media

“Ketika ini kami sedang mengusahakan supaya ada semula penerbangan Tawau-Tarakan. Dengan kapal, perjalanan mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, manakala dengan penerbangan udara mungkin hanya sekitar setengah jam,” katanya.

Menurutnya, kewujudan semula laluan udara tersebut berpotensi memudahkan hubungan masyarakat Sabah dengan masyarakat Indonesia, khususnya di wilayah Kalimantan.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap ADUN Tanjung Batu, YB Dr Andi MD Shamsureezal, turut menyambut baik usaha memperkukuh hubungan dan konektiviti antara Sabah dengan Indonesia.

Beliau berkata Sabah dan Indonesia mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, namun masing-masing mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dipelajari, dinikmati dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan berusaha meningkatkan konektiviti bersama Konsulat Indonesia di Tawau bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua wilayah.

Pelancong Indonesia ke Sabah sekitar 60,000

Dr Andi berkata, berdasarkan rekod dari Januari hingga Jun tahun ini, jumlah pelancong Indonesia yang datang ke Sabah adalah sekitar 60,000 orang.

Beliau berpandangan angka tersebut masih boleh dipertingkatkan memandangkan kedudukan Sabah yang bersempadan dengan Indonesia serta mempunyai hubungan budaya yang begitu rapat.

Kemeriahan program Wonderful Indonesia

“Sepatutnya jumlah itu lebih banyak kerana kita berjiran. Begitu juga pelancong Malaysia ke Indonesia, sepatutnya jumlah itu lebih besar kerana kita mempunyai budaya yang sama dan saling boleh mempelajari antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berharap Tahun Melawat Sabah 2027 kelak dapat memberi impak lebih besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui kerjasama yang lebih erat dengan Indonesia.

Dalam usaha memperluaskan hubungan kebudayaan pula, katanya, terdapat perancangan untuk mengadakan Borneo Festival atau festival kebudayaan peringkat Borneo sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Usaha tarik syarikat penerbangan

Mengulas cadangan menghidupkan semula penerbangan Tawau-Tarakan, Dr Andi berkata pihak kerajaan negeri sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan AirAsia mengenai perkara berkenaan.

Katanya, terdapat perkembangan positif pada peringkat awal, namun usaha tersebut masih diteruskan susulan perkembangan dan perubahan dalam industri penerbangan global.

Acara Wonderful Indonesia yang berlangsung dengan jayanya

Beliau berkata pihaknya juga akan berusaha bersama Konsul RI di Tawau untuk menarik syarikat penerbangan lain, termasuk Lion Air dan Batik Air, bagi melihat potensi mewujudkan lebih banyak laluan penerbangan yang menghubungkan Sabah dengan Indonesia.

Usaha tersebut turut dilihat penting dalam meningkatkan visibiliti Sabah sebagai destinasi pelancongan, selain membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat dan pemain industri kedua-dua wilayah untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat.