Bukan di hutan tetapi ketika demonstrasi, anggota APM maut dipatuk ular tedung selar

Bukan di hutan tetapi ketika demonstrasi, anggota APM maut dipatuk ular tedung selar

Tragedi itu membawa kepada tindakan segera apabila APM Pahang menghentikan serta-merta semua program dan aktiviti demonstrasi atau pertunjukan yang melibatkan haiwan berbisa buat masa ini. Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata keputusan itu dibuat susulan kematian Sarjan (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, selepas dipatuk ular tedung selar di Temerloh.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi Sabtu, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada jari tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular sempena sebuah program di Temerloh. Mangsa sempat memasukkan semula ular berkenaan ke dalam kotak dan mencuci tangannya sebelum rebah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Beliau bagaimanapun meninggal dunia kira-kira 1.50 pagi Ahad, selepas lebih 14 jam menerima rawatan. Menurut Che Adam, keputusan menghentikan demonstrasi berkenaan dibuat bagi memastikan aspek keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan, terutama dalam aktiviti yang melibatkan haiwan berbisa.

Operasi APM bagi menangani kes haiwan berbisa bagaimanapun diteruskan seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan. Tragedi ini memperlihatkan risiko pengendalian haiwan berbisa bukan hanya ketika bertugas di kawasan hutan atau habitat liar, malah turut wujud dalam suasana program awam yang sepatutnya terkawal, menyebabkan APM Pahang menghentikan pertunjukan haiwan berbisa, tetapi meneruskan operasi menangani ancaman reptilia kepada orang awam.