KUALA LUMPUR – Persoalan yang sering muncul di media sosial “Fadhlina buat apa?” bakal dijawab sendiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi satu segmen khas yang akan berkongsi perkembangan serta pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibawah pimpinannya.
Menerusi perkongsian di laman media sosial, Fadhlina berkata segmen “Fadhlina Buat Apa?” akan mengupas satu demi satu perkara yang telah dilakukan dan dicapai oleh pasukan KPM sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, ada antara usaha berkenaan yang mungkin sudah diketahui umum, namun tidak kurang juga yang masih belum diketahui ramai.
“Satu-satu kita cerita,” katanya, sambil memberi gambaran bahawa perkongsian tersebut akan dibuat secara berperingkat.
Segmen berkenaan dilihat sebagai usaha untuk menjelaskan kepada masyarakat dengan lebih dekat mengenai gerak kerja serta hasil yang dibawa KPM, khususnya perkara yang mungkin kurang mendapat perhatian dalam perbincangan awam.
Dengan pendekatan yang lebih santai dan terus kepada persoalan yang sering diajukan pengguna media sosial, “Fadhlina Buat Apa?” dijangka menjadi ruang untuk masyarakat melihat sendiri apa yang sedang dilakukan KPM, satu persatu.