KALABAKAN: Belanjawan 2027 tidak seharusnya sekadar menjadi dokumen yang mengandungi angka dan peruntukan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat, khususnya di kawasan pedalaman seperti Kalabakan.
Ahli Parlimen P191 Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Sabah tidak lagi boleh kekal sebagai komitmen tahunan semata-mata.
Menurut beliau, pengurangan jurang pembangunan hanya bermakna sekiranya peruntukan yang diumumkan diterjemahkan kepada kerja fizikal dan projek yang siap serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 esok (9 Oktober), komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang wilayah antara Semenanjung dan Sabah tidak boleh lagi kekal sebagai retorik tahunan.
“Pengurangan jurang pembangunan hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada kerja fizikal yang siap di lapangan,” katanya dalam kenyataan media.
Suryady berkata, bagi kawasan seperti Kalabakan, isu pembangunan bukan lagi sekadar berkaitan keselesaan, sebaliknya menyentuh keperluan asas dan kelangsungan hidup masyarakat.
Katanya, penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau masih berdepan pelbagai kekangan asas termasuk keadaan jalan perhubungan yang daif, bekalan air bersih yang tidak terawat, kemudahan kesihatan yang terhad serta capaian internet yang tidak menentu.
Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga pendirian utama yang perlu diberi perhatian menjelang pengumuman Belanjawan 2027 bagi memastikan keperluan rakyat Kalabakan tidak terus terpinggir.
Pertama, beliau menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada siling peruntukan infrastruktur asas dengan dana khusus dan berfokus bagi menaik taraf jalan perhubungan luar bandar, jaringan utiliti air serta sambungan logistik ke kawasan pulau di Kalabakan.
Menurutnya, kemudahan asas berkenaan merupakan prasyarat penting kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Kedua, beliau mahu isu birokrasi pelaksanaan projek diberi perhatian serius, terutama berkaitan kelewatan pelaksanaan akibat kerenah birokrasi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Belanjawan 2027 mesti memperkenalkan mekanisme pemantauan khas agar setiap ringgit yang diumumkan benar-benar sampai dan dibelanjakan di tapak projek mengikut jadual,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa masalah Sabah bukan semata-mata berpunca daripada ketiadaan pengumuman peruntukan, tetapi turut melibatkan kelewatan menterjemahkan peruntukan tersebut kepada projek yang dapat dilaksanakan di lapangan.
Ketiga, Suryady menekankan keperluan agihan yang adil kepada kawasan luar bandar dan pedalaman, supaya usaha memacu ekonomi negara tidak menyebabkan kawasan pinggir terus ketinggalan daripada arus pembangunan.
Katanya, Kalabakan memerlukan pelaburan berterusan dalam kemudahan pendidikan, pengupayaan klinik kesihatan desa serta pembangunan ekonomi komuniti.
Langkah itu, menurut beliau, penting bagi memastikan masyarakat di kawasan berkenaan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menikmati kemajuan dan tidak terus berada di belakang arus pemodenan.
Pendirian tersebut hadir menjelang pembentangan Belanjawan 2027 yang diharapkan dapat memberi penekanan lebih jelas terhadap pembangunan infrastruktur asas dan penyampaian projek di Sabah, khususnya kawasan pedalaman seperti Kalabakan.