BUDI95 kembali 300 Liter, pemilik Pikap & Jip dapat 400 Liter Diesel

BUDI95 kembali 300 Liter, pemilik Pikap & Jip dapat 400 Liter Diesel

KUALA LUMPUR – Beberapa langkah baharu kerajaan dijangka memberi kesan terus kepada rakyat dan perniagaan, termasuk peningkatan kelayakan subsidi bahan api, kelonggaran pelaksanaan e-Invois serta tambahan pembiayaan untuk peniaga kecil.

Antara perubahan utama ialah kelayakan asas BUDI95 dikembalikan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, manakala kelayakan BUDI Diesel bagi pemilik kenderaan seperti pikap dan jip ditingkatkan daripada 300 kepada 400 liter sebulan. Langkah itu melibatkan kira-kira 16 juta pengguna BUDI95 dan lebih 500,000 pengguna diesel.

BUDI95

Bagi peniaga pula, ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta jualan tahunan, sekali gus mengecualikan kira-kira 1.1 juta perniagaan daripada pelaksanaannya. Kerajaan turut menambah RM1 bilion kepada pembiayaan perniagaan mikro, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 bilion, selain menyediakan RM200 juta Geran Sejahtera MADANI untuk kelengkapan peniaga kecil termasuk ibu yang berniaga dari rumah, penjaja dan peniaga pasar malam.

Dalam sektor awam, RM1 bilion diperuntukkan bagi mempercepat pendigitalan kesihatan menerusi Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta meningkatkan sambungan WiFi, melibatkan 150 hospital dan 2,000 Klinik Kesihatan bagi membantu mempercepat urusan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu. Sektor pendidikan pula menerima tambahan RM500 juta, menjadikan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2027 meningkat daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, meliputi semua jenis sekolah termasuk sekolah agama, tahfiz, pondok dan pendidikan khas.

Bagi golongan muda, kerajaan turut menyediakan langganan AI secara percuma selama tiga bulan kepada 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun yang melengkapkan modul pembelajaran AI melalui Program AI untuk Rakyat. Kesemua langkah berkenaan mencakupi bantuan kepada pengguna bahan api, peniaga, sektor kesihatan, sekolah dan anak muda sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas manfaat kepada rakyat.