TAWAU – Keinginan untuk menjadi individu pertama menyampaikan sesuatu berita dalam kumpulan WhatsApp atau media sosial boleh menyebabkan maklumat yang belum disahkan tersebar lebih luas, terutama ketika berdepan isu yang sedang hangat diperkatakan.
Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Tuan Hendry Nurdin berkata, sikap terburu-buru berkongsi sesuatu berita tanpa membuat semakan terlebih dahulu antara cabaran yang menyukarkan usaha membendung penyebaran berita palsu (fake news).
Perkara itu dikongsikan beliau ketika menjadi tetamu Podcast “Duduk Dulu Bah” terbitan TawauKini Episod 8, yang turut membincangkan fungsi Jabatan Penerangan Malaysia, kawalan media, pengalaman kehidupan serta pelbagai isu semasa.

Menurut Hendry, ada kalanya seseorang berkongsi sesuatu maklumat dalam kumpulan media sosial dengan niat sekadar bertanya sama ada berita tersebut benar atau tidak.
Namun, tanpa disedari, tindakan itu sendiri sudah menyebabkan maklumat berkenaan tersebar walaupun kesahihannya masih belum dipastikan.
“Bila kita dapat berita, kita mahu jadi orang pertama yang sebarkan berita itu.
“Contohnya saya berkongsi dalam satu grup, ‘betul ke berita?’ Tetapi dalam tidak sedar, ketika kita bertanya soalan seperti itu, kita sebenarnya telah menyebarkan satu berita yang belum lagi disahkan kesahihannya,” katanya.
Hendry berkata, sikap mahu menjadi orang pertama menyampaikan sesuatu berita sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat, terutama apabila melibatkan isu yang berlaku di kawasan setempat.
Katanya, perkara itu tidak menjadi masalah sekiranya maklumat yang disampaikan benar, namun keadaan boleh menjadi sebaliknya jika berita berkenaan tidak mempunyai asas yang sahih.
“Kalau berita benar, saya mahu jadi orang pertama yang bagi tahu orang kampung. Tapi kalau berita itu tidak benar, itu masalah kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat, khususnya penduduk di daerah Tawau, supaya tidak terburu-buru mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat sebelum membuat semakan.
Menurutnya, masyarakat kini mempunyai pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk menyemak kesahihan sesuatu berita yang tular.
Antaranya ialah Chatbot AIFA melalui WhatsApp yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat berkaitan isu atau persoalan yang timbul.
“Kalau menerima berita, kita sebenarnya mempunyai banyak platform untuk menyemak betul atau tidak berita-berita palsu ini.
“Kita ada satu aplikasi WhatsApp dipanggil Chatbot AIFA. Kita boleh tanya soalan mengenai isu yang timbul. Kalau soalan itu isu panas, mungkin dia akan terus jawab, tetapi kalau soalan itu memerlukan masa, dia akan ambil masa untuk memberi respons,” katanya.

Selain itu, Hendry turut menggalakkan masyarakat menyemak isu berkaitan berita palsu menerusi portal Sebenarnya.my yang menyediakan maklumat berkaitan dakwaan atau berita yang telah dikenal pasti dan disemak.
Beliau berkata, budaya menyemak sebelum berkongsi perlu menjadi amalan dalam kalangan masyarakat bagi mengelakkan maklumat tidak benar terus beredar dalam komuniti.
Dalam episod kali ini, Hendry yang merupakan anak jati Tawau dan berasal dari Tanjung Batu turut berkongsi pengalaman menarik dalam kehidupan serta pandangan mengenai peranan Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Podcast “Duduk Dulu Bah” Episod 8 bersama Tuan Hendry Nurdin kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube TawauKini.