KOLUM I Persoalan mengenai kewujudan dua jenis resit zakat fitrah tahun ini dijelaskan dalam tazkirah selepas solat Isyak di Masjid PGA Air Panas oleh penceramah, Ustaz Mohamad, sebelum jemaah menunaikan solat sunat Tarawih lapan rakaat.
Menurut beliau, dua resit tersebut merujuk kepada dua kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan berdasarkan jenis beras yang menjadi makanan harian seseorang.
“Ramai yang bertanya kenapa ada dua resit. Sebenarnya zakat fitrah ini sejak dahulu dibayar menggunakan beras. Pada zaman dahulu, orang membawa beras untuk membayar zakat,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada masa kini kaedah pembayaran digantikan dengan wang tunai, namun nilainya masih berdasarkan harga beras yang dimakan oleh seseorang.
“Sekarang ini ada orang makan beras biasa dan ada juga yang makan beras mahal seperti beras wangi atau beras basmati. Sebab itu diperkenalkan dua kadar iaitu RM7.50 dan RM15,” katanya.
Menurutnya, mereka yang menggunakan beras premium seperti beras wangi atau basmati digalakkan membayar zakat pada kadar RM15, manakala mereka yang menggunakan beras biasa boleh membayar RM7.50 seorang.
Dalam nada berseloroh, beliau turut mengingatkan agar umat Islam tidak berkira dalam menunaikan kewajipan tersebut.
“Jangan kedekut dengan Tuhan. Ada juga yang tidak mahu mengaku makan beras mahal,” katanya sambil disambut senyuman jemaah.
Beliau turut memberi contoh bahawa bayaran zakat tersebut sebenarnya tidak membebankan.
“Kalau satu keluarga ada 10 orang, bayar RM15 seorang pun baru RM150 setahun,” katanya.
Dalam masa sama, Ustaz Mohamad turut menegur keadaan jemaah masjid yang semakin berkurangan walaupun Ramadan sudah memasuki pertengahan bulan.
“Kita sudah sampai pertengahan Ramadan, tetapi masjid semakin sunyi. Sepatutnya bulan ini kita imarahkan masjid dengan sebaiknya,” katanya sambil mengajak umat Islam memanfaatkan baki Ramadan dengan meningkatkan ibadah.



