Tiga Didakwa Edar Lebih 12kg ‘piau-piau’, Syabu

Tiga Didakwa Edar Lebih 12kg ‘piau-piau’, Syabu
TAWAU – Tiga individu termasuk dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar lebih 12 kilogram (kg) dadah jenis Methamphetamine dan cecair Fentanyl atau ‘Piau-Piau’ yang digunakan untuk rokok elektronik, Ogos lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nasrul, 19, dan Harman Anton, 40, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum memandangkan kes dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohd Nasrul yang berperanan sebagai penghantar barang atau ‘runner’ didakwa mengedar 8.55 kilogram cecair Fentanyl di Kampung Titingan Batu 2, Lorong Habib Abdul Rahman, Jalan Apas, kira-kira pukul 4 petang, 28 Ogos lalu.
Harman yang dipercayai bekerja sebagai pengedar pula didakwa mengedar 2.61 kilogram cecair Fentanyl di sebuah rumah di Jalan Abaca, di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari, 29 Ogos lalu.
Dalam prosiding berasingan, Len Jaujala, 40, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Ibu kepada empat anak itu didakwa mengedar 1.01 kilogram Methamphetamine atau syabu di belakang sebuah rumah di kawasan sawit Kampung Wakuba Gading, Jalan Apas, pukul 9.40 pagi, 28 Ogos lalu.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadison dan Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 6 dan 12 Oktober depan sementara menunggu laporan kimia dan keputusan patologi.