“Kami reda dan terima kekalahan” – Fan United selepas Pro Ref akui VAR silap, dua pengadil direhatkan

“Kami reda dan terima kekalahan” – Fan United selepas Pro Ref akui VAR silap, dua pengadil direhatkan

“Kami reda dan terima kekalahan.” Mungkin begitulah bunyinya jika penyokong Manchester United cuba berdamai dengan apa yang berlaku selepas Pro Ref sendiri mengakui VAR melakukan kesilapan dalam gol Erling Haaland yang membantu Manchester City mencatat kemenangan 1-0 di Old Trafford.

Lebih menarik, dua pengadil VAR yang terlibat dalam insiden tersebut akhirnya direhatkan daripada tugasan Premier League. Jadi, kalau sudah sampai tahap badan pengadil sendiri mengakui kesilapan dan tindakan susulan turut diambil, mungkin penyokong United memang ada sebab untuk “reda”.

Tetapi sebenarnya, apa yang berlaku pada gol Haaland itu? Adakah Haaland memang offside, atau ada perkara lain yang terlepas daripada perhatian VAR? Mengapa dua pengadil berkenaan akhirnya direhatkan?

Begini cerita sebenarnya.

Bukan Haaland yang offside

Kontroversi ini sebenarnya lebih rumit daripada sekadar mengatakan “Haaland offside”. Gol tersebut pada awalnya dibatalkan kerana Haaland didakwa berada dalam posisi offside. Namun selepas semakan VAR, didapati penyerang Manchester City itu sebenarnya berada dalam posisi onside, dengan kedudukannya dikekalkan oleh pertahanan United, Patrick Dorgu.

Jadi, VAR memang betul dalam satu perkara itu. Masalahnya muncul apabila semakan tersebut turut menemukan seorang lagi pemain City dalam posisi seperti offside, Enzo Fernandez. Fernandez berada dalam posisi ofsaid ketika Josko Gvardiol menghantar bola ke arah Haaland. Dia turut cuba memainkan bola walaupun akhirnya tidak menyentuhnya.

Di sinilah VAR sepatutnya melihat dengan lebih teliti. Menurut Pro Ref, VAR gagal mengambil kira kemungkinan bahawa kedudukan dan tindakan Fernandez telah mempengaruhi permainan. VAR sepatutnya mencadangkan pengadil Michael Oliver melihat sendiri insiden tersebut di monitor untuk menentukan sama ada Fernandez telah mengganggu permainan.

Apa sebenarnya kesilapan VAR

Bukan kerana mereka gagal mengesan bahawa Fernandez berada dalam posisi offside, Mereka kesan. Persoalannya ialah VAR menilai bahawa Fernandez tidak melakukan kesalahan offside kerana dia tidak menyentuh bola. Namun, peraturan offside tidak semestinya memerlukan pemain menyentuh bola untuk dianggap mempengaruhi permainan. Kedudukan dan pergerakannya juga boleh menjadi faktor, terutama apabila dia cuba memainkan bola dan menarik perhatian pemain lawan.

Dalam situasi tersebut, Fernandez berada berhampiran Lisandro Martinez ketika pemain pertahanan United itu bertindak balas terhadap pergerakannya. Itulah sebabnya Pro Ref berpendapat keputusan tersebut sepatutnya dihantar kembali kepada Michael Oliver untuk on-field review, bukannya VAR terus mengesahkan gol.

Pro Ref minta maaf kepada Manchester United

Lebih menarik, pengakuan kesilapan itu bukan sekadar muncul dalam laporan media. Pro Ref memaklumkan bahawa mereka telah menghubungi Manchester United untuk mengakui kesilapan tersebut. Badan itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu kesilapan pertimbangan dan mengakui VAR sepatutnya mengesyorkan semakan di padang.

Dua pengadil VAR pula direhatkan

Perkembangan selepas itu mungkin lebih menarik. Matt Donohue, yang bertugas sebagai VAR dalam perlawanan tersebut, tidak diberikan tugasan untuk perlawanan Premier League pada hujung minggu ini. Penolong VAR Blake Antrobus juga tidak diberikan tugasan.

Kedua-duanya dijangka kekal tidak bertugas sekurang-kurangnya sehingga selepas rehat antarabangsa. Keputusan itu dibuat oleh ketua pengadil, Howard Webb, bersama pihak pengurusan selepas kesilapan tersebut diakui. Perlu diperjelaskan, Michael Oliver bukan antara dua pengadil VAR yang direhatkan itu. Oliver ialah pengadil utama di atas padang, manakala Donohue dan Antrobus berada di bilik VAR.

Gol Haaland itu pula menjadi penentu kemenangan

Bahagian yang mungkin paling menyakitkan untuk penyokong United ialah gol tersebut bukan sekadar gol biasa. Haaland menjaringkannya pada minit ke-60 dan gol itu menjadi satu-satunya jaringan dalam perlawanan, membolehkan Manchester City membawa pulang kemenangan 1-0 dari Old Trafford.

Ironinya, City ketika itu sudah bermain dengan 10 pemain selepas Phil Foden dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama. Maka, satu gol yang kemudiannya diakui sepatutnya melalui semakan lanjut akhirnya menjadi penentu keseluruhan Manchester Derby.

Adakah kemenangan City patut dipadamkan?

Itu persoalan yang lebih sukar. Keputusan rasmi perlawanan tetap menunjukkan Manchester City menang 1-0. Pengakuan Pro Ref tidak mengubah keputusan tersebut secara automatik. Namun, ia mengubah cara kita melihat gol berkenaan.

Haaland bukan offside. Sebaliknya, persoalan sebenar ialah tindakan Fernandez yang berada dalam posisi offside dan sama ada dia telah mempengaruhi permainan. VAR sepatutnya memberikan Michael Oliver peluang untuk membuat keputusan akhir mengenai perkara subjektif itu, tetapi peluang tersebut tidak diberikan.

Akhirnya, Manchester City sudah dapat tiga mata. Pro Ref sudah mengaku silap. Dua pengadil VAR pula direhatkan. Manchester United? Mereka masih perlu menerima keputusan 1-0 itu.