Operasi Samseng Jalanan Tawau : 80 kenderaan diperiksa dan 14 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan

Operasi Samseng Jalanan Tawau : 80 kenderaan diperiksa dan 14 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan

TAWAU – Polis mengeluarkan 14 notis saman dan menyita dua kenderaan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi yang berlangsung dari kira-kira jam 10.30 malam hingga 2 pagi itu melibatkan beberapa lokasi, iaitu kawasan T2 Jalan Apas, One Arena Jalan Chong Thien Vun serta Sekatan Jalan Raya (SJR) di Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

Sepanjang operasi, polis memeriksa 80 kenderaan yang terdiri daripada 30 motosikal, 30 motokar, 18 kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan dua lori.

Pemeriksaan turut dijalankan terhadap 64 individu, masing-masing 45 lelaki dan 19 perempuan.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 14 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik. Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 serta tidak mempamerkan tanda ‘P’.

Bagi motokar, tindakan turut diambil terhadap kesalahan pengubahsuaian ekzos dan penggunaan lampu selain warna putih. Sebuah kenderaan pacuan empat roda pula dikenakan tindakan kerana menggunakan kenderaan yang tidak sesuai.

Dalam operasi sama, polis menyita sebuah kereta jenis Fairlady dan sebuah kenderaan pacuan empat roda mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua kenderaan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pagi ini untuk tindakan susulan menerusi Operasi Extreme,” kata ACP Rosdi.

Selain tindakan penguatkuasaan, empat kenderaan turut diberikan advokasi yang membabitkan sebuah motokar dan tiga motosikal sebagai usaha meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan.

Tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi berkenaan.

ACP Rosdi berkata, Polis Daerah Tawau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung aktiviti samseng jalanan dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak.