15 Siri Turun Padang, Pusat Khidmat Rakyat Kalabakan Terus Dekati Masyarakat

15 Siri Turun Padang, Pusat Khidmat Rakyat Kalabakan Terus Dekati Masyarakat

TAWAU – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan terus mendekati masyarakat menerusi program turun padang yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan dalam satu lokasi.

Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandi, berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama beberapa agensi termasuk KWSP, SPR, JPN dan PTPTN, selain KPDN yang mengadakan Jualan Rahmah.

Menurut beliau, sambutan masyarakat terhadap program berkenaan amat menggalakkan, khususnya terhadap Jualan Rahmah yang menjadi antara tarikan kepada penduduk sekitar.

“Alhamdulillah, sambutan yang begitu menggalakkan daripada penduduk kampung dan masyarakat pada sekitar kawasan ini,” katanya.

Dalam program itu, pihak penganjur turut menaja 50 peserta terawal yang mendaftar dengan PTPTN, selain membantu penduduk yang ingin membuat urusan berkaitan pertukaran alamat pada kad pengenalan.

Penduduk turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta membuat semakan kelayakan berkaitan PKB40.

Satu lokasi, pelbagai urusan

Andi Suryady berkata, program berkenaan bertujuan menyantuni masyarakat dengan membawa pelbagai agensi lebih dekat kepada penduduk di kawasan Parlimen Kalabakan.

Menurutnya, program itu merupakan antara siri turun padang yang dilaksanakan dari semasa ke semasa di pelbagai lokasi dalam kawasan Parlimen berkenaan.

“Secara rumusannya, program ini memang bertujuan untuk menyantuni dan juga mendekati masyarakat.

“Dari masa ke semasa, ini adalah siri yang ke-15 kalau saya tak silap. Kita turun padang di seluruh kawasan dalam Parlimen Kalabakan ini,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas yang diterima setakat ini juga positif, dengan pengunjung menyifatkan kehadiran pelbagai agensi di satu lokasi membantu memudahkan urusan harian mereka.

“Memudahkan mereka untuk membuat urusan kerana satu urusan itu dapat dibuat sekaligus apabila agensi-agensi turun dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak pengunjung,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan di lokasi berlainan dari semasa ke semasa, dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap KPDN yang menganjurkan Jualan Rahmah, yang dilihat mendapat sambutan daripada masyarakat sekitar.

Menurutnya, program berkenaan memberi manfaat kepada penduduk selain menjadi antara tarikan utama sepanjang program berlangsung.

Usaha turun padang seumpama itu diharapkan dapat terus menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan masyarakat, sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan pelbagai urusan tanpa perlu pergi ke lokasi berbeza.