Menyingkap peranan Almarhumah Tun Dr. Hasmah dalam mendekatkan perubatan moden kepada ibu di desa

Menyingkap peranan Almarhumah Tun Dr. Hasmah dalam mendekatkan perubatan moden kepada ibu di desa

Pada tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, Malaysia sedang melalui fasa membina sebuah sistem kesihatan yang lebih tersusun dan ingin membawa lebih banyak perkhidmatan kesihatan ke kawasan luar bandar. Namun, kemudahan dan tenaga kesihatan terlatih masih belum tersebar secara seimbang ketika itu. Di banyak kawasan desa, khususnya dalam penjagaan kehamilan dan kelahiran, bidan kampung masih memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat.

Pada 1967, satu analisis sejarah perkhidmatan kesihatan menganggarkan sekitar 3,000 traditional birth attendants atau bidan kampung membantu kira-kira 47% daripada 174,000 kelahiran pada tahun tersebut. Di sesetengah kawasan, bahagiannya dilaporkan boleh mencapai 80%, antara lain kerana kekurangan bidan terlatih serta kepercayaan dan amalan masyarakat setempat. Angka ini memperlihatkan betapa pentingnya peranan bidan kampung dalam kehidupan ibu di luar bandar ketika perkhidmatan kesihatan moden sedang diperluas.

Di tengah fasa inilah, Tun Dr. Hasmah mula memainkan peranan dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak.

Beliau bukan sekadar berada dalam sistem perubatan yang sedang berkembang. Beliau turut berhadapan dengan persoalan yang lebih luas, bagaimana perkhidmatan kesihatan moden boleh diterima oleh masyarakat yang sudah mempunyai adat, kepercayaan dan amalan penjagaan mereka sendiri?

Kesihatan moden mendekati kawasan desa

Bagi memahami persoalan tersebut, kita perlu melihat keadaan perkhidmatan kesihatan ketika itu. Pada awal pembangunan penjagaan kesihatan primer Malaysia, kerajaan bukan sahaja perlu membina kemudahan, tetapi juga memperluaskan tenaga kesihatan ke kawasan luar bandar. Bilangan pusat kesihatan utama, subpusat kesihatan dan klinik bidan meningkat dengan ketara antara 1960 hingga 1970. Pada 1960 misalnya, terdapat hanya lapan pusat kesihatan utama dan 26 klinik bidan. Menjelang 1970, angka itu masing-masing meningkat kepada 44 dan 943.

Namun, pembinaan kemudahan sahaja tidak mencukupi. Di kampung-kampung, masyarakat sudah mempunyai cara tersendiri untuk menjaga ibu mengandung dan wanita selepas bersalin. Bidan kampung bukan sekadar membantu kelahiran. Mereka dikenali oleh keluarga, memahami adat setempat dan mempunyai hubungan sosial yang rapat dengan masyarakat.

Kajian mengenai perkhidmatan materniti di luar bandar kemudian menunjukkan bahawa wanita menghargai bidan kampung bukan sahaja kerana bantuan ketika bersalin, tetapi juga kerana sokongan sosial dan spiritual yang diberikan sepanjang kehamilan serta tempoh selepas bersalin. Perubatan moden perlu masuk ke dalam masyarakat yang sudah mempunyai semua itu.

Seorang doktor muda di tengah masyarakat luar bandar

Tun Dr. Hasmah menamatkan pengajian perubatan pada 1955 dan memulakan housemanship di Hospital Besar Kuala Lumpur sebelum meneruskan khidmat sebagai pegawai perubatan di Kedah. Antara 1956 hingga 1962, beliau berkhidmat di beberapa lokasi di Alor Setar.

Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak, selain menjadi pengetua Sekolah Latihan Kesihatan Luar Bandar di Jitra. Kemudian pada 1966, beliau mengikuti program kesihatan awam di University of Michigan. Pada 1974 pula, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah.

Jawatan-jawatan ini penting dari segi sejarah, tetapi yang lebih menarik ialah pengalaman yang datang bersama jawatan tersebut. Di lapangan, masalah kesihatan bukan sekadar persoalan penyakit. Ia berkait dengan kemiskinan, jarak, pengangkutan, pengetahuan kesihatan, budaya dan tahap kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan kerajaan.

Dalam wawancara bersama UNICEF, Tun Dr. Hasmah sendiri mengimbas bahawa antara sebab masyarakat luar bandar tidak datang ke hospital ialah mereka tidak mempunyai pengangkutan atau wang untuk membayar tambang. Beliau turut mengingati bahawa ada masyarakat yang takut kepada hospital dan menganggap seseorang yang pergi ke hospital sudah berada dalam keadaan sangat serius. Maka, tugas kesihatan awam ketika itu bukan hanya merawat orang yang datang mendapatkan rawatan.

Petugas kesihatan juga perlu pergi kepada masyarakat dan mendapatkan kepercayaan mereka. Universiti Malaya merekodkan bahawa Tun Dr. Hasmah menganjurkan pelbagai program kesihatan luar bandar bagi mempromosikan kebersihan, kehidupan sihat dan imunisasi kanak-kanak, selain bekerja dengan masyarakat bagi meningkatkan penerimaan terhadap amalan kesihatan moden.

Tun Dr. Hasmah melihat kehidupan di sekeliling seorang ibu

Di sinilah kerjaya Tun Dr. Hasmah menjadi lebih daripada sekadar sebuah sejarah. Beliau menghasilkan pelbagai tulisan tentang wanita, kesihatan, adat dan masyarakat Melayu sejak akhir 1960-an.

Antaranya The Effect of Islam & Adat on Health Attitudes pada 1968, The Role of the Nurse & Midwife in Family Planning Service pada 1969 dan Some Aspects of Traditional Health Attitudes & Practices in Rural Areas pada 1973.

Kemudian muncul pula tulisan seperti Pantang Larang & Adat Resam Semasa Mengandung dan Selepas Bersalin (1974), The Role of Traditional Birth Attendants in Family Health (1975), Susuan Ibu & Penyusuan Anak (1976) dan The Socio-economic & Cultural Factors Associated with Pregnancy, Childbirth and Puerperium in Malaysia (1976).

Senarai ini penting kerana ia menunjukkan apa yang beliau fikir perlu difahami untuk membincangkan tentang kesihatan seorang ibu. Bukan hanya penyakit dan proses bersalin, tetapi juga apa yang dipercayai oleh seorang wanita ketika mengandung, pantang yang diamalkan, orang yang membantunya ketika bersalin, cara bayi dijaga selepas kelahiran, penyusuan, perancangan keluarga dan keadaan sosial serta ekonomi yang mengelilingi keluarga tersebut.

Dengan kata lain, seorang ibu tidak dilihat semata-mata sebagai pesakit. Dia ialah seorang manusia yang hidup dalam keluarga, komuniti, budaya dan keadaan ekonomi tertentu. Pendekatan inilah yang menjadikan penulisan Tun Dr. Hasmah menarik.

Adat, Budaya dan Kesihatan Ibu Desa

Salah satu contoh paling jelas ialah persoalan bidan kampung. Pada 1975, Dr. Hasmah membentangkan The Role of Traditional Birth Attendants in Family Health dalam Workshop for the Instruction and Practice of Midwifery di Kuala Lumpur. Tulisan itu kemudiannya menjadi antara rujukan dalam kajian akademik mengenai perbidanan tradisional di Malaysia. Peranan dan perbincangan mengenai bidan kampung ketika itu memang rumit.

Mereka diperlukan oleh masyarakat, tetapi sebahagian amalan mereka mempunyai risiko dari segi keselamatan dan kebersihan. Sebuah kajian mengenai sejarah perkhidmatan kesihatan Malaysia mencatatkan bahawa kerajaan mula memperkenalkan program latihan untuk bidan tradisional pada 1965. Mereka dilatih mengenal pasti tanda bahaya kehamilan dan kelahiran, mengelakkan amalan berbahaya serta menggalakkan penggunaan klinik dan pusat kesihatan untuk penjagaan sebelum dan selepas bersalin.

Satu lagi kajian sejarah mengenai perbidanan di Malaysia menerangkan bahawa kerajaan pada ketika itu memilih pendekatan yang menggabungkan bidan tradisional ke dalam proses peralihan tersebut. Amalan tradisional dinilai dan yang mana dianggap berbahaya perlu ditinggalkan, manakala amalan yang tidak berbahaya boleh diteruskan.

Dalam konteks inilah pengalaman Tun Dr. Hasmah dengan bidan tradisional menjadi signifikan. Beliau sendiri mengimbas kepada UNICEF bagaimana wanita dibawa ke sekolah latihan di Jitra untuk mempelajari amalan kebidanan yang lebih bersih. Selepas latihan, mereka menerima kit kelahiran UNICEF yang disterilkan. Klinik luar bandar pula digunakan untuk melatih semula bidan dan membantu mewujudkan hubungan dengan bidan kerajaan sekiranya berlaku komplikasi.

Pendekatan tersebut memperlihatkan bentuk perubahan yang lebih pragmatik. Masyarakat tidak dipaksa meninggalkan semua yang mereka kenal dalam satu masa. Sebahagian amalan diperbaiki, sebahagian risiko dikurangkan dan hubungan dengan sistem kesihatan kerajaan dibina. Di situlah idea “mendekatkan perubatan moden” menjadi lebih jelas.

Dari adat ke kehamilan, kelahiran dan kehidupan selepas bersalin

Perhatian Tun Dr. Hasmah terhadap adat tidak berhenti pada persoalan bidan. Pada 1974, beliau menulis tentang Pantang Larang & Adat Resam Semasa Mengandung dan Selepas Bersalin. Dua tahun kemudian, beliau menulis mengenai penyusuan ibu dan anak serta faktor sosioekonomi dan budaya yang berkaitan dengan kehamilan, kelahiran dan tempoh selepas bersalin.

Kesemua topik ini memperlihatkan satu cara melihat kesihatan yang luas. Apa yang dimakan seorang ibu, Apa yang dilarang kepadanya, siapa yang memberikan nasihat, siapa yang hadir ketika kelahiran, bagaimana bayi dijaga selepas lahir, bagaimana wanita merancang kehamilan seterusnya dan apakah keadaan ekonomi keluarga yang menentukan sama ada mereka boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Perkara-perkara tersebut mungkin kelihatan seperti isu yang berasingan, tetapi bagi seorang pegawai kesihatan awam, semuanya bersambung kepada pengalaman kesihatan seorang wanita. Sebab itu tulisan beliau mengenai faktor sosioekonomi dan budaya pada 1976 sangat menarik.

Rekod tersebut jelas menunjukkan bahawa faktor sosial, ekonomi dan budaya sudah menjadi sebahagian daripada perkara yang beliau beri perhatian ketika membincangkan kehamilan dan kelahiran di Malaysia.

Kesihatan ibu dilihat tidak hanya ketika bayi dilahirkan

Satu lagi perkara yang membuat rangkaian tulisan Tun Dr. Hasmah menarik ialah keluasan skopnya. Kesihatan ibu tidak berhenti di bilik bersalin.  Tulisan beliau mengenai Susuan Ibu & Penyusuan Anak pada 1976 membawa perhatian kepada tempoh selepas kelahiran. Tulisan mengenai peranan jururawat dan bidan dalam perkhidmatan perancang keluarga pula menunjukkan perhatian terhadap kesihatan wanita dalam konteks keluarga secara keseluruhan. Beliau juga terlibat dalam perkhidmatan perancang keluarga dan pernah memegang peranan dalam Kedah Family Planning Association.

Kemudian, pada 1978 dan 1979, senarai penerbitan beliau terus berkembang dengan tajuk seperti Rokok Punca Kecacatan Anak, Adat, Kesihatan dan Wanita serta Traditional Practices & Modern Medicine in Kedah. Apabila kesemua tulisan itu dibaca sebagai satu rangkaian, jelas bahawa perhatian beliau meliputi satu spektrum yang luas:

kehamilan → kelahiran → tempoh selepas bersalin → penyusuan → perancangan keluarga → kesihatan anak → adat dan amalan masyarakat.

Ini bukan lagi sekadar cerita tentang seorang doktor yang merawat ibu dan anak, ia adalah rekod tentang bagaimana seorang doktor cuba memahami kehidupan yang membentuk kesihatan mereka.

Perubahan besar bukan hasil seorang doktor

Perubahan kesihatan ibu dan anak di Malaysia berlaku melalui usaha besar iaitu penciptaan klinik dan pusat kesihatan, latihan jururawat serta bidan, program imunisasi, pendidikan kesihatan, sistem rujukan, perancangan keluarga dan kerjasama dengan organisasi antarabangsa.

Data perkembangan kemudahan kesihatan primer menunjukkan betapa pesatnya sistem itu berkembang pada dekad 1960-an dan 1970-an. Dalam perkembangan tersebut, Tun Dr. Hasmah ialah salah seorang tokoh yang bekerja di dalam sistem itu, khususnya dalam kesihatan ibu dan anak serta kesihatan luar bandar.

Perdana Leadership Foundation, misalnya, melaporkan bahawa kadar kematian bayi di Kedah dalam tempoh yang dikaitkan dengan perkhidmatan beliau menurun daripada sekitar 75 kepada 7 bagi setiap 1,000 kelahiran. Penurunan kematian bayi adalah hasil perubahan sistem dan usaha ramai pihak. Dalam wawancara UNICEF, Tun Dr. Hasmah mengaitkan perubahan besar tersebut dengan perkembangan imunisasi dan peluasan program kesihatan. Tun Dr. Hasmah berada di tengah-tengah salah satu tempoh penting ketika perubahan tersebut sedang berlaku.

Dari pengalaman di Kedah kepada perbincangan antarabangsa

Pengalaman di peringkat tempatan kemudian berkembang kepada penglibatan dalam perbincangan kesihatan di peringkat nasional dan antarabangsa. Rekod UiTM menyenaraikan penglibatan beliau dalam Persidangan Kesihatan Ibu dan Anak anjuran WHO pada 1968, Seminar Perancang Keluarga Kebangsaan pada 1970, persidangan mengenai Islam dan perancangan keluarga di Rabat pada 1971 serta seminar pendidikan kesihatan di Manila pada 1973.

Pada 1995, beliau memberikan ucapan khas pada pembukaan WHO Workshop on Reproductive Health for the Western Pacific Region di Kuala Lumpur. Dokumen rasmi WHO merekodkan nama dan ucapan beliau dalam program tersebut. Tiga tahun kemudian, pada 1998, beliau pula disenaraikan sebagai salah seorang penyampai pada persidangan World Bank Safe Motherhood: Progress and Challenges di Washington, D.C., dalam sesi bertajuk “Empowering Our Women to Live”, mewakili Malaysia.

Perjalanan ini menarik apabila dilihat dari jarak masa yang panjang. Seorang doktor yang pada awal kerjayanya bekerja dengan masyarakat luar bandar di Kedah akhirnya membawa pengalaman Malaysia mengenai kesihatan wanita dan safe motherhood ke forum antarabangsa.

Lebih daripada jawatan dan gelaran

Rangkaian tulisan Tun Dr. Hasmah kemudian berkembang menjadi karya yang menghimpunkan pemikiran beliau tentang wanita, adat dan kesihatan. Rekod bibliografi menyenaraikan Adat, Kesihatan dan Wanita dalam dua jilid pada penghujung 1970-an, manakala karya Wanita, Adat dan Kesihatan turut direkodkan sebagai terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dari penerbitan ini,boleh dikatakan ianya adalah tentang cara beliau melihat kesihatan.

Beliau melihat bidan kampung, adat, pantang larang, keadaan ekonomi,  penyusuan, perancangan keluarga, kesihatan bayi dan beliau melihat bahawa perkhidmatan kesihatan moden perlu diterima oleh manusia yang hidup dalam semua keadaan tersebut.

Itulah sebabnya peranan Tun Dr. Hasmah dalam sejarah kesihatan ibu dan anak tidak wajar dikecilkan kepada senarai jawatan “wanita pertama” yang pernah disandangnya. Jawatan-jawatan itu memang penting, tetapi kerja yang berlaku di sebalik jawatan itulah yang menjadikan kisahnya bernilai untuk dikenang.

Sebuah jambatan yang dibina oleh ramai orang

Sejarah kesihatan Malaysia sebenarnya bukan kisah bagaimana perubatan moden datang lalu menghapuskan perubatan tradisional dalam sekelip mata. Ia jauh lebih rumit. Terdapat bidan kampung yang telah lama menjadi tempat masyarakat bergantung, jururawat dan bidan kerajaan yang membawa latihan moden. Ada doktor yang masuk ke kawasan luar bandar, kerajaan yang membina klinik dan pusat kesihatan, UNICEF yang membantu latihan dan peralatan dan ada masyarakat sendiri yang perlahan-lahan belajar menerima sistem yang baharu.

Dalam proses itu, Tun Dr. Hasmah berada pada satu kedudukan yang menarik. Beliau memahami bahasa perubatan moden kerana beliau seorang doktor. Tetapi melalui kerja lapangan dan penulisannya, beliau juga memberikan perhatian kepada adat, kepercayaan dan kehidupan masyarakat yang menerima perubatan tersebut.

Sebab itu, apabila kita bercakap tentang peranan beliau dalam mendekatkan perubatan moden kepada ibu desa, ia bukan bermaksud beliau seorang diri membina jalan tersebut. Sebaliknya, beliau ialah sebahagian daripada generasi yang membantu menjadikan jalan itu lebih dekat dengan masyarakat yang perlu menggunakannya.

Legasi yang ditinggalkan

Hari ini, pemeriksaan kehamilan, klinik kesihatan ibu dan anak, imunisasi, pendidikan kesihatan, penyusuan dan perancang keluarga kelihatan seperti perkara biasa. Tetapi semuanya mempunyai sejarah. Ada suatu masa ketika seorang ibu di desa mungkin lebih mudah menemui bidan kampung berbanding petugas kesihatan kerajaan.

Suatu masa ketika perjalanan ke hospital boleh menjadi masalah kerana tiada pengangkutan atau wang untuk membayar tambang. ada ketika adat dan pantang larang mempunyai pengaruh besar terhadap keputusan keluarga dan ada suatu masa ketika kerajaan sendiri sedang belajar bagaimana untuk membawa perkhidmatan kesihatan moden ke tengah-tengah masyarakat tersebut.

Di situlah Almarhumah Tun Dr. Hasmah Mohd Ali muncul dalam sejarahnya. Bukan sebagai satu-satunya individu yang mengubah kesihatan ibu dan anak Malaysia, tetapi sebagai seorang doktor yang bekerja di lapangan, memahami masyarakat yang ditemuinya, mengkaji adat dan amalan mereka. Memberi perhatian kepada bidan kampung serta faktor sosial, budaya dan kemudian membawa pengalaman tersebut ke dalam perbincangan kesihatan yang lebih luas.

Daripada desa Kedah kepada forum antarabangsa, perjalanan itu memperlihatkan satu perkara yang penting, perubatan moden tidak hanya perlu dibina. Ia juga perlu didekatkan kepada manusia dan dalam proses panjang itulah, peranan Almarhumah Tun Dr. Hasmah menjadi sebahagian daripada sejarah bagaimana Malaysia membawa penjagaan kesihatan ibu dan anak daripada sistem yang masih sangat dekat dengan kampung kepada sistem kesihatan moden yang lebih tersusun.


Rujukan

Cambridge University Press. (2021). Health service delivery. In Systems Thinking Analyses for Health Policy and Systems Development.

Department of Social and Preventive Medicine, Universiti Malaya. (2018, May 28). Malaysia’s First Lady: A champion of public health.

Gianno, R. (2004). Women are not brave enough: Semelai male midwives in the context of Southeast Asian cultures. Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde, 160(1), 31–54.

Lim, S. C., Pathmanathan, I., & Jaafar, S. (2021). Health service delivery. In Systems Thinking Analyses for Health Policy and Systems Development. Cambridge University Press.

Mohd Yunus, R. (2018, May 28). Malaysia’s First Lady: A champion of public health. Department of Social and Preventive Medicine, Faculty of Medicine, Universiti Malaya.

Siti Hasmah Mohd. Ali. (1973). Some aspects of traditional health attitudes and practices in rural areas. Paper presented at the National Seminar on the Role of Specialists in Promoting Family Health, Penang, Malaysia.

Siti Hasmah Mohd. Ali. (1975). The role of traditional birth attendants in family health. Paper presented at the Workshop for the Instruction and Practice of Midwifery, Kuala Lumpur.

Universiti Teknologi MARA. (n.d.). Ijazah Kehormat Doktor Sains Kesihatan (2002) YABhg. Dato Seri Dr. Hasmah Haji Mohd. Ali. Memori Universiti.

UNICEF Malaysia. (2021, December 10). Wisdom from a Leading Lady in Malaysia.

Wan Aminah Haji Hasbullah, & Nik Norliza Nik Hassan. (2017). Amalan perubatan herba dan keseimbangan humoral dalam penjagaan kesihatan post partum wanita Melayu: Perspektif budaya dan perubatan. Asian Journal of Environment, History and Heritage, 1(2), 129–142

World Bank. (1998). Safe Motherhood: Progress and Challenges. Washington, D.C.

World Health Organization. (1995). Special address by Her Hon. Datin Seri Dr. Siti Hasmah Bte. Haji Mohd Ali at the opening of the WHO Workshop on Reproductive Health for the Western Pacific Region.