SANDAKAN: Seorang wanita yang sedang berniaga buah-buahan di tepi jalan maut selepas gerainya dirempuh sebuah lori treler membawa muatan kayu balak dalam kemalangan di Jalan Labuk, Batu 27, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Ernawati Lajaruddin, 50, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun selepas dibawa ke pusat kesihatan berkenaan akibat kecederaan yang dialami.
Kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta itu turut menyebabkan seorang wanita berusia 31 tahun cedera parah selepas tersepit di dalam lori kargo 10 tan.

Tiga lagi mangsa, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, dilaporkan terselamat dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan buah-buahan di tepi jalan dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dusun untuk mendapatkan rawatan selepas kemalangan berlaku.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, kerja-kerja mengalihkan muatan kayu balak yang bertaburan di atas jalan raya dijalankan bagi membolehkan laluan berkenaan dibuka semula kepada pengguna.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.