“Ada ‘Red Line’!” Warisan terbuka kerjasama PRU16, hak Sabah tak boleh dikompromi – Shafie

“Ada ‘Red Line’!” Warisan terbuka kerjasama PRU16, hak Sabah tak boleh dikompromi – Shafie

SEMPORNA: Parti Warisan Sabah (Warisan) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), namun menetapkan satu pendirian tegas bahawa suara serta kepentingan Sabah tidak boleh dikompromi dalam sebarang bentuk kerjasama.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu memberi keutamaan kepada kerjasama dengan parti tempatan Sabah, namun pada masa sama tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan parti di peringkat nasional.

Menurut beliau, sebarang gabungan politik yang dibentuk pada masa akan datang tidak seharusnya menyebabkan hak, keperluan dan aspirasi rakyat Sabah diketepikan atau menjadi perkara kedua.

warisan

“Kita tidak mahu apabila bergabung dengan parti tertentu, suara dan keperluan rakyat Sabah, termasuk apa yang mereka mahu dan apa yang menjadi hak mereka, menjadi pudar atau sekadar ‘secondary’.

“Jadi ini penting kepada kita. Mesti ada ‘red line’ apabila kita ada gabungan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-9 Warisan Bahagian Semporna, di sini, hari ini.

Shafie berkata, pendirian untuk memperkukuh suara Sabah tidak seharusnya ditafsirkan sebagai semangat kenegerian secara melampau, sebaliknya merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kepentingan negeri terus diberi perhatian dalam pembinaan sebuah negara yang lebih kukuh.

Katanya, Warisan turut tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan parti di peringkat nasional walaupun parti itu kini berada dalam blok pembangkang di Sabah.

“Kita beri keutamaan kepada parti tempatan. Di peringkat nasional, kita boleh bekerjasama. Sekarang pun kita bekerjasama.

“Tetapi di Sabah kita jadi pembangkang kerana kita tidak mahu suara rakyat Sabah hilang,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sasaran kerusi yang mahu ditandingi Warisan pada PRU16, Shafie berkata keputusan akhir tetap bergantung kepada rakyat dan pengundi.

Beliau berkata Warisan mahu terus berperanan sebagai sebuah platform yang mampu menterjemahkan aspirasi rakyat Sabah selain memperjuangkan hak serta kepentingan mereka.

Pendirian berkenaan memperlihatkan Warisan masih membuka ruang kepada kerjasama politik menjelang PRU16, namun pada masa sama mahu memastikan sebarang gabungan yang dibentuk tidak mengorbankan agenda dan kepentingan Sabah.

Sumber : Facebook Shafie Apdal