Bantahan isu ketelusan undi diterima, UMS gantung sementara pembentukan kabinet MPP

Bantahan isu ketelusan undi diterima, UMS gantung sementara pembentukan kabinet MPP

KOTA KINABALU, 2 November 2026 – Pembentukan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi 2026/2027 ditangguhkan sementara susulan isu integriti sistem pengundian dan penjumlahan undi yang dibangkitkan menerusi proses bantahan keputusan Pilihan Raya Kampus (PRK) baru-baru ini.

Keputusan itu dimaklumkan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) UMS dalam kenyataan rasmi bertarikh 2 November 2026, selepas perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Universiti (PUU). Penangguhan berkenaan bertujuan memberi laluan kepada Jawatankuasa Audit PRK menjalankan proses pengauditan secara telus, terperinci dan menyeluruh terhadap sistem pengundian serta data pengundi.

Sebelum itu, Jawatankuasa Bantahan PRK Sesi 2026/2027 mengesahkan menerima satu borang bantahan daripada wakil Suara Mahasiswa UMS yang mengandungi 13 perkara. Daripada jumlah tersebut, bantahan perkara satu hingga tujuh ditolak, manakala perkara lapan hingga 13 diterima kerana membangkitkan persoalan berkaitan integriti sistem, pengesahan identiti pengundi, pencegahan pengundian berganda, ketepatan penjumlahan undi serta pemeliharaan bukti digital.

Antara perkara yang menjadi perhatian ialah keputusan pengundian yang merekodkan seramai 12,257 pengundi bagi Kawasan Umum, dengan jumlah 85,799 pilihan calon melibatkan 25 calon. Jawatankuasa Bantahan berpandangan bahawa kesepadanan angka tersebut sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan ketepatan keseluruhan proses, sekali gus memerlukan pemeriksaan terhadap rekod transaksi, log perubahan sistem, kawalan akses pentadbiran dan pengesahan data pengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Audit PRK UMS, Muhammad Rais Danial bin Jalani, memaklumkan pihaknya akan melaksanakan semakan teknikal terhadap sistem pengundian, termasuk data kelayakan pengundi, transaksi sistem, ketelusan sistem dan perakuan sistem. Beliau turut menegaskan bahawa pengundian semula tidak seharusnya diputuskan berdasarkan keraguan atau dakwaan semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan hasil pemeriksaan dan bukti yang mencukupi. Sekiranya kecacatan material yang menjejaskan kesahihan keputusan PRK dibuktikan, pengundian semula perlu dipertimbangkan.

Sehubungan itu, JPRK menegaskan sebarang perkembangan berkaitan keputusan audit dan proses pembentukan kabinet MPP sesi 2026/2027 akan diumumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa. Penangguhan ini sekali gus meletakkan pembentukan kepimpinan mahasiswa UMS dalam keadaan tertangguh sehingga isu integriti dan ketelusan proses pilihan raya berkenaan diteliti serta diselesaikan.

#TawauKini