Mangsa kebakaran Kg Bahagia dibela – Agong titah bantuan, PM turun padang santuni mangsa

Mangsa kebakaran Kg Bahagia dibela - Agong titah bantuan, PM turun padang santuni mangsa

SANDAKAN, 22 April 2026 – Tragedi kebakaran yang memusnahkan penempatan di Kampung Bahagia terus mendapat perhatian tertinggi negara apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menghulurkan kurniaan peribadi kepada keluarga terjejas, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula turun padang meninjau sendiri keadaan mangsa di lokasi kejadian, hari ini.

Menerusi hantaran di media soial rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa sumbangan tersebut akan disalurkan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat insiden berkenaan.

Baginda turut menitahkan YSIJ supaya berhubung dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lancar kepada semua mangsa yang terlibat.

Dalam perkembangan sama, Anwar yang diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengadakan lawatan rasmi ke Kampung Bahagia sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap nasib penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran itu.

Lawatan tersebut dimulakan dengan taklimat oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan, Datuk Walter Kenson, yang menjelaskan kronologi kejadian, tahap kerosakan serta langkah segera yang telah diambil oleh agensi terlibat.

Perdana Menteri kemudian meninjau kawasan kebakaran sebelum meneruskan lawatan ke beberapa pusat penempatan sementara (PPS), termasuk di Sekolah Kebangsaan Gas, Dewan PPR Batu Sapi dan PPK SK Gas.

Dalam lawatan itu, beliau turut meluangkan masa menyantuni mangsa, mendengar sendiri keluhan mereka serta memberi jaminan bahawa kebajikan semua mangsa akan terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Gabungan keprihatinan Seri Paduka Baginda dan tindakan segera kerajaan itu dilihat sebagai bukti bahawa nasib mangsa kebakaran Kampung Bahagia tidak dipinggirkan, sebaliknya menjadi keutamaan dalam usaha pemulihan kehidupan penduduk yang terjejas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *