Tragedi Batu 14 Jalan Apas: Ibu dan dua anak lelaki maut, remaja 15 tahun parah

Tragedi Batu 14 Jalan Apas: Ibu dan dua anak lelaki maut, remaja 15 tahun parah

TAWAU: Tiga sekeluarga maut selepas kereta Perodua Alza dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit dan terbalik dalam kemalangan di Batu 14, Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, seorang lagi ahli keluarga mereka, remaja perempuan berusia 15 tahun, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tiga mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada seorang wanita berusia 50 tahun bersama dua anak lelakinya masing-masing berusia 30 dan 28 tahun.

Menurutnya, lelaki berusia 28 tahun yang memandu kenderaan itu meninggal dunia bersama abangnya berusia 30 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Ibu mereka pula berada di tempat duduk belakang sebelah kanan, manakala remaja perempuan berusia 15 tahun yang terselamat berada di bahagian belakang sebelah kiri.

Siasatan awal mendapati keempat-empat mereka dalam perjalanan dari Kampung Bahagia, Sandakan menuju ke bandar Tawau.

Rosdi berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan berumput.

Kenderaan itu kemudian merempuh sebatang pokok kelapa sawit sebelum terseret kira-kira 60 meter, lalu terbalik dan berhenti.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pada jam 10.16 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, remaja perempuan yang terselamat mengalami kecederaan serius pada bahagian tulang rusuk dan perut sebelum dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut di Zon Merah Jabatan Kecemasan.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau bagi tujuan bedah siasat yang dijadualkan pada jam 8 malam ini.

Dalam perkembangan sama, pemeriksaan awal mendapati pemandu kenderaan berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Kenderaan terbabit turut ditahan untuk menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Rosdi berkata, polis sedang meneruskan siasatan termasuk mengesan saksi bebas bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan memiliki lesen memandu yang sah demi keselamatan diri serta penumpang.