TAWAU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melaksanakan pemeriksaan terhadap tiga premis syarikat di sekitar daerah Tawau bagi memastikan pengoperasian syarikat serta dokumen sokongan permohonan pas kerja ekspatriat mematuhi syarat dan peraturan imigresen yang ditetapkan.
Pemeriksaan itu dilaksanakan menerusi Unit Inspektorat JIM Negeri Sabah dan diketuai Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha binti Habib Yussof.

Sumber : Jabatan Imigresen Negeri Sabah
Turut menyertai pemeriksaan berkenaan ialah TPPI Arienwine Hazel Kok dari Unit Inspektorat serta TPPK Zulkefle bin Lamudin dari Pejabat Imigresen Tawau.
Menurut JIM Negeri Sabah, pemeriksaan tersebut bertujuan meneliti operasi syarikat selain mengesahkan kesahihan dokumen sokongan yang dikemukakan, termasuk lesen perniagaan dan pendaftaran premis.
Langkah berkenaan turut memastikan maklumat dalam permohonan Pas Kerja Ekspatriat dan Pas Kerja Malaysia adalah tepat serta memenuhi segala syarat imigresen yang sedang berkuat kuasa.
JIM Negeri Sabah menjelaskan bahawa pemeriksaan berkala merupakan sebahagian daripada proses penilaian permohonan sebelum sebarang kelulusan pas kerja diberikan.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh ketelusan, integriti dan kecekapan pengurusan pas kerja, selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.