“Tidak perlu bimbang lagi” – Gardenia sahkan produk mereka patuhi Piawaian Keselamatan Makanan

“Tidak perlu bimbang lagi” – Gardenia sahkan produk mereka patuhi Piawaian Keselamatan Makanan

KUALA LUMPUR – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengesahkan produk-produknya yang terlibat mematuhi spesifikasi keselamatan makanan selepas keputusan ujian yang dijalankan oleh makmal bebas bertauliah mengesahkan pematuhan terhadap piawaian ditetapkan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi Gardenia yang menjelaskan bahawa produk berkenaan turut memenuhi keperluan di bawah Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan berkaitan.

gardenia

Sumber : Gardenia Bakeries Kl Sdn Bhd

Dalam kenyataan sama, Gardenia memaklumkan pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan telah mengadakan lawatan pemeriksaan ke fasiliti pengeluaran syarikat pada 10 November 2026.

Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Menurut Gardenia, pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pemeriksaan tersebut, manakala KKM berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan keselamatan makanan yang dilaksanakan oleh syarikat.

Gardenia turut memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kualiti produk serta kesejahteraan pengguna sentiasa menjadi keutamaan tertinggi mereka.

Syarikat itu juga memaklumkan tiada perubahan dibuat terhadap resipi atau formulasi produk, selain prosedur keselamatan makanan dan kawalan kualiti yang ditetapkan terus dilaksanakan.

Dalam pada itu, Gardenia menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KKM sekiranya terdapat siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan di fasiliti pengeluaran mereka.

Syarikat berkenaan turut menghargai kesabaran, pemahaman serta kepercayaan berterusan yang diberikan oleh pengguna, rakan niaga dan pihak berkuasa berkaitan.

Gardenia menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan produk yang selamat dan berkualiti tinggi kepada pengguna.