UMS Sahkan Kematian Pelajar Lelaki Dalam Kawasan Kampus

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan satu kejadian kematian melibatkan seorang pelajar lelaki di dalam kawasan kampus universiti berkenaan, seperti yang dimaklumkan menerusi kenyataan media rasmi hari ini.

Dalam kenyataan tersebut, pihak UMS menyatakan rasa dukacita yang mendalam atas kehilangan berkenaan, yang turut dirasai oleh seluruh warga universiti. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan kini sedang menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa.

pelajar

Elak Sebarang Spekulasi Kematian Pelajar

Sehubungan itu, UMS merayu orang awam agar menghormati privasi keluarga mangsa serta mengelakkan sebarang spekulasi, andaian atau penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan dan menambahkan kesedihan kepada pihak yang terkesan.

Menurut kenyataan sama, aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan universiti. UMS turut menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan serta pemantauan secara berterusan.

Baca Juga : Dari Tawau Ke Putrajaya, Tahniah Datuk Lo Su Fui

pelajar

“Segala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan rasmi siasatan kelak,” menurut kenyataan itu.

Pihak universiti turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan, selain memaklumkan perkembangan lanjut kepada umum sekiranya perlu.

UMS dalam pada itu merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan tersayang, sambil mendoakan agar mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *