KOTA KINABALU: Cadangan memperkenalkan kadar tambang penerbangan khas untuk belia Sabah menjadi antara lima usul utama yang dibawa ke Majlis Perundingan Belia Sabah bagi mengurangkan beban kos perjalanan golongan muda ke Semenanjung.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kos penerbangan yang tinggi menjadi antara kekangan kepada belia negeri ini untuk menyertai program, aktiviti dan urusan rasmi di peringkat nasional.
Menurutnya, kadar tambang lebih istimewa diperlukan bagi memastikan peluang golongan muda Sabah menyertai pelbagai program di Semenanjung tidak terbatas disebabkan faktor kewangan.
“Belia-belia Sabah memohon dan mengusulkan agar ada tambang yang istimewa untuk mereka supaya ia tidak membebankan pergerakan ke Semenanjung dari Kota Kinabalu.
“Ini kerana terdapat aktiviti, program dan urusan rasmi yang memerlukan mobilisasi golongan muda ke Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Sabah di sini, Selasa.
Nizam berkata, cadangan berhubung tambang penerbangan itu merupakan antara lima usul yang dibentangkan dan dipersetujui untuk dibawa ke Majlis Perundingan Belia Negara bagi mendapatkan pertimbangan lanjut.
Empat lagi usul yang diketengahkan merangkumi usaha memperkukuh aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan diri serta pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.
Selain itu, pembangunan hab keusahawanan digital dan agropreneur belia turut dicadangkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda meneroka bidang ekonomi baharu.
Usul lain termasuk penyelarasan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan serta kesesuaian lokaliti setiap daerah, selain memperluaskan bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).
Menurut Nizam, kesemua cadangan berkenaan mencerminkan keperluan sebenar golongan muda di Sabah yang memerlukan perhatian serta tindakan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
Katanya, usul berkenaan akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Tan Sri Dr. Johari untuk pertimbangan di peringkat lebih tinggi.
Beliau berharap semua cadangan itu diberikan perhatian serius dan dapat direalisasikan bagi memperkukuh kebajikan serta memperluas peluang pembangunan belia Sabah.