TAWAU: Kecuaian dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan dua buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Isuzu D-Max di Batu 7, Jalan Apas, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, 12 November itu, kedua-dua kenderaan terbabit dilaporkan terbabas ke dalam parit konkrit selepas berlaku perlanggaran di Jalan Persekutuan Batu 7, Jalan Apas.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Isuzu D-Max yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, kenderaan itu kemudian terbabas ke sebelah kanan jalan ketika sebuah Toyota Hilux yang dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun sedang datang dari arah bertentangan.
Pemandu Toyota Hilux berkenaan dipercayai tidak sempat mengelak berikutan jarak kedua-dua kenderaan yang terlalu dekat sebelum berlaku pelanggaran.
Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam parit konkrit, manakala pemandu dan penumpang yang terlibat mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa diberikan bantuan awal oleh pihak bomba sebelum dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, semua mangsa telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau.
Rosdi berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Isuzu D-Max yang gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan.
Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan faktor yang menyumbang kepada kejadian berkenaan. Kes disiasat mengikut Rule 10, LN 166/59.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Mohd Hanafiah bin Mat Sari menerusi talian 019-886 7715 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Pihak polis turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan sepanjang pemanduan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan meningkatkan kewaspadaan, khususnya ketika keadaan cuaca hujan yang boleh menyebabkan permukaan jalan menjadi licin dan meningkatkan risiko kemalangan.