Kerajaan umum penambahbaikan subsidi diesel bersasar dalam satu hingga dua Bulan

Kerajaan umum penambahbaikan subsidi diesel bersasar dalam satu hingga dua Bulan

PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa penambahbaikan sistem subsidi diesel bersasar dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, kata Menteri Kementerian II, Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, penambahbaikan itu meliputi penyederhanaan proses permohonan, kelonggaran kriteria kelayakan bagi kenderaan sambung bayar serta membolehkan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat.

“Kita masih menyelidiki beberapa cadangan penambahbaikan. Dalam sebulan dua ini, kita akan buat pengumuman berhubung penambahbaikan itu, terutamanya dari segi proses dan kelayakan,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2027 di Tawau.

Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2027 turut akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan dan menyeluruh kepada rakyat.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan hasrat kerajaan memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan memberi impak nyata, khususnya dalam menangani beban kos sara hidup di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 120,000 pemilik kenderaan jenis pikap dan jip di Sabah dikenal pasti layak memohon kuota subsidi diesel melebihi 300 liter.

Bagaimanapun, setakat ini hanya kira-kira 49,000 pemilik kenderaan yang layak telah mendaftar dan mengemukakan permohonan.

“Kerajaan menggalakkan lebih ramai pemilik yang layak di Sabah untuk segera memohon kerana kebolehan dan saluran permohonan telahpun disediakan,” katanya.

Bagi membantu golongan yang kurang celik teknologi, Amir Hamzah berkata Kementerian Kewangan turut bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan syarikat minyak bagi menyediakan bimbingan permohonan secara terus di kaunter serta stesen minyak.

Sumber : FMT