TAWAU – Sekolah Kebangsaan (SK) Melodi Tawau mencipta kejayaan membanggakan apabila enam daripada lapan atlet skuasy yang dihantar ke Sabah Closed Squash Championship 2026 berjaya membawa pulang enam pingat, terdiri daripada dua emas, dua perak dan dua gangsa.
Kejohanan yang diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu menghimpunkan lebih 70 atlet dari seluruh Sabah, termasuk Tawau, Kota Kinabalu, Penampang, Sandakan, Kota Marudu dan Kota Belud.
Kejohanan anjuran Sabah Squash Association dengan kerjasama Kota Kinabalu Squash Association yang diadakan pada 13-15 November 2026 itu merupakan antara platform persaingan peringkat negeri bagi mengenal pasti pemain berbakat yang berpotensi mewakili Sabah dalam pelbagai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2027.
Dalam saingan tersebut, atlet SK Melodi mempamerkan prestasi membanggakan menerusi beberapa kategori pertandingan.

Bagi kategori Girl U9, Ashra Medina berjaya meraih pingat gangsa.
Sementara itu, kategori Girl U11+13 menyaksikan kejayaan berganda apabila Adelia Qiesya muncul juara untuk membawa pulang pingat emas, manakala Nur Ainul Mardhiah meraih pingat perak.

Kejayaan turut dicatat dalam kategori Boy U11 apabila Luqman Hakim meraih pingat emas, diikuti Asyraf Haikal yang memperoleh pingat perak dan Haikal Dania dengan pingat gangsa.
Dua lagi wakil SK Melodi turut menunjukkan prestasi yang baik apabila Aryana Qisya menamatkan saingan di tempat keempat bagi kategori Girl U11+13, manakala Muhammad Firas berada di tempat keenam kategori Boy U11.

Pencapaian tersebut sekaligus memperlihatkan potensi atlet muda SK Melodi dalam sukan skuasy, selain mengukuhkan kedudukan sukan berkenaan sebagai salah satu kebitaraan sekolah itu.

Kejayaan berkenaan turut mendapat sokongan barisan pentadbir sekolah, guru besar dan penolong kanan, termasuk PK1 dan PK Kokurikulum. Penghargaan turut diberikan kepada Cikgu Andi Faizah bersama suami, ibu bapa serta semua pihak yang mengiringi, membantu mengurus dan memberikan sokongan kepada para atlet sepanjang kejohanan berlangsung di Kota Kinabalu.
Kejayaan enam pingat daripada lapan atlet yang mengambil bahagian itu menjadi pencapaian bermakna buat SK Melodi, sekaligus membawa nama Tawau ke pentas persaingan skuasy peringkat negeri Sabah.
Pihak sekolah berharap pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat kepada atlet muda untuk terus meningkatkan prestasi dan melangkah lebih jauh dalam sukan skuasy pada masa hadapan.