KENINGAU: Seorang peserta dari Nabawan yang hanya dikenali dengan gelaran ‘Angkol’ mencuri tumpuan apabila berjaya membawa pulang wang tunai RM1 juta menerusi pertandingan Game Memancing Penyatu Angler Borneo di Kolam Gemilang Valley, Kampung Liau Darat, Apin-Apin, di sini, semalam.
Kejayaan itu menjadi antara sorotan utama pertandingan berkenaan yang menawarkan pelbagai hadiah bernilai jutaan ringgit, sekali gus menarik penyertaan kaki pancing yang ingin menguji kemahiran masing-masing.
Pertandingan anjuran Kolam Gemilang Valley dengan kerjasama Kolam Mega Bintulu itu mempertandingkan kategori Ranking Utama, membabitkan ikan keli, pacu dan patin dengan berat tiga kilogram ke bawah.
Berdasarkan senarai hadiah yang diumumkan, pemenang tempat pertama kategori berkenaan menerima RM100,000, manakala tempat kedua membawa pulang RM1 juta dan tempat ketiga memperoleh RM40,000.
Pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM20,000 dan RM10,000.
Ganjaran turut disediakan kepada peserta lain apabila mereka yang berada pada kedudukan keenam hingga ke-50 menerima RM1,000 setiap seorang, manakala peserta di kedudukan ke-51 hingga ke-300 membawa pulang RM800 seorang.
Kemuncak acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan sebuah Toyota Hilux 2.4 keluaran 2026 sebagai hadiah utama.
Sebuah motosikal Yamaha YZF-R15M baharu pula menjadi hadiah kedua, selain pelbagai barangan menarik termasuk peti sejuk, mesin basuh, televisyen Android, jongkong emas dan telefon pintar.
Penganjuran pertandingan berskala besar itu bukan sahaja menjadi medan menguji kemahiran serta kesabaran peserta, malah menawarkan peluang kepada komuniti kaki pancing untuk merebut pelbagai ganjaran lumayan dalam satu acara.