KOTA BELUD – Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, merangkumi keseluruhan perjalanan projek sejak perancangan pada 2015 hingga pelaksanaan terkini.
Beliau berkata, siasatan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada satu isu atau tempoh tertentu, khususnya keputusan penamatan model Project Delivery Partner (PDP), sebaliknya perlu merangkumi aspek perancangan, pembiayaan, pemilihan kontraktor, pengambilan tanah, pampasan serta pelaksanaan projek.
Pendirian itu disuarakan menerusi surat tambahan kepada Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, bertarikh 15 November 2026, bagi memohon peluasan skop siasatan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 mengenai pengurusan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1.
Menurut Isnaraissah, beliau menyambut baik pandangan beberapa Ahli Parlimen Sabah yang turut menggesa supaya PAC meneliti keputusan penamatan model PDP dan perkara berkaitan pengurusan projek berkenaan.

Sumber : Facebook Isnaraissah Munirah Majilis
Penamatan PDP dan RM155 juta penyelesaian
Antara perkara utama yang diminta beliau supaya diberi perhatian ialah rasional keputusan Jemaah Menteri pada 19 Disember 2018 untuk menamatkan Perjanjian PDP secara prinsip di bawah Klausa 28, iaitu Termination on National Interest.
Beliau turut meminta PAC meneliti Perjanjian Penyelesaian bertarikh 3 Mac 2022 yang melibatkan pembayaran Settlement Sum sebanyak RM155 juta kepada Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHPSB), termasuk asas tuntutan, nasihat undang-undang dan sebarang potongan berkaitan prestasi serta kos projek.
RM700.99 juta dibayar kepada BHPSB
Isnaraissah juga membangkitkan pembayaran berjumlah RM700.99 juta kepada BHPSB seperti dinyatakan dalam jawapan Parlimen Menteri Kerja Raya pada 28 Oktober 2026.
Jumlah itu merangkumi RM66.917 juta bagi yuran pengurusan, termasuk cukai, serta RM634.073 juta bagi imbuhan bayaran balik, termasuk cukai, selain RM448.360 juta yang dibayar kepada perunding.
Sehubungan itu, beliau mahu PAC mendapatkan pecahan terperinci pembayaran berkenaan dan menyelaraskannya dengan jumlah yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 1/2019, termasuk hasil kerja yang diserahkan serta penggunaannya oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).
Pemilihan kontraktor turut dipersoalkan
Selain isu kewangan, proses pemilihan dan pelantikan kontraktor pakej kerja sepanjang tempoh PDP antara 2016 hingga September 2019 turut menjadi perhatian.
Merujuk dapatan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1/2019 bagi pakej WP21 Lahad Datu Bypass, Isnaraisah menyatakan audit mendapati kesemua 10 petender tidak memenuhi sekurang-kurangnya satu syarat kelayakan minimum.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk syarat purata pendapatan tahunan RM50 juta, pengalaman membina jalan, keupayaan teknikal serta pemilikan loji dan peralatan asas.
Beliau meminta PAC meneliti sama ada proses pra-kelayakan dan penilaian teknikal yang sama telah dilaksanakan bagi pakej kerja lain, selain mendapatkan keterangan daripada pihak yang terlibat dalam proses penilaian dan pelantikan kontraktor.
77,299 fail pemantauan projek pernah hilang
Dalam surat sama, Isnaraissah turut membangkitkan isu kehilangan 77,299 fail dalam sistem pemantauan projek pada 29 Disember 2023 berikutan sandaran data yang tidak pernah diuji.
Beliau meminta penjelasan sama ada semua data pakej kerja, termasuk WP02 dan WP05 yang belum dipulihkan sehingga 4 September 2025, kini telah dipulihkan sepenuhnya.
Pakej kerja dimulakan sebelum kelulusan EIA
Satu lagi perkara yang mahu diteliti ialah pelaksanaan 19 pakej kerja yang memulakan kerja antara 28 hingga 550 hari sebelum Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) diluluskan.
Isnaraisah mencadangkan supaya PAC memanggil Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi menjelaskan perkara itu, termasuk tindakan kompaun yang hanya dikenakan terhadap tiga pakej kerja, iaitu WP31, WP32 dan WP33.
Pampasan tanah Sabah dan Sarawak diminta diperjelaskan
Dalam aspek pengambilan tanah, beliau turut meminta penjelasan mengenai perbezaan nilai pampasan antara Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan angka yang dirujuk daripada Laporan Ketua Audit Negara 2/2026, Sabah melibatkan pengambilan tanah seluas 2,237.966 hektar daripada 6,513 pemilik dengan pampasan berjumlah RM1.447 bilion, termasuk RM1.219 bilion yang dibayar setakat 31 Mac 2026.
Bagi Sarawak pula, pengambilan tanah melibatkan 2,373.82 hektar daripada 15,968 pemilik dengan akaun amanah pampasan tanah berjumlah RM700 juta, termasuk RM681.13 juta yang telah dibelanjakan.
Bagaimanapun, beliau mengakui perbandingan tersebut belum sepenuhnya setara berikutan kemungkinan perbezaan jenis tanah, struktur dan lokasi serta skop kos yang terkandung dalam akaun amanah Sarawak.
Justeru, beliau meminta Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta KKR menjelaskan kaedah penilaian pampasan, pecahan bayaran mengikut pakej kerja dan status RM144 juta pampasan Fasa 1A yang masih belum dibayar.
Kementerian dan pihak terlibat diminta beri keterangan
Isnaraisah turut mencadangkan supaya PAC mendapatkan keterangan daripada Kementerian Kewangan berhubung asas pembiayaan Pan Borneo Sarawak melalui DanaInfra Nasional Berhad, termasuk sama ada kaedah atau kajian pembiayaan serupa pernah dipertimbangkan bagi Sabah sepanjang tempoh 2016 hingga 2023.
Beliau turut menggesa supaya pihak berkaitan termasuk BHPSB, kontraktor pakej kerja, perunding serta pegawai kementerian dan agensi yang terlibat dipanggil untuk memberikan penjelasan kepada PAC.
Menurutnya, rakyat Sabah berhak mendapat jawapan berdasarkan dokumen daripada semua pihak yang terlibat, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri.
“Jika siasatan ini benar-benar mahu dijalankan, biarlah ia menyeluruh, merangkumi perancangan, pelantikan PDP, pemilihan kontraktor, pembiayaan, pengambilan tanah dan pampasan, penamatan PDP serta pelaksanaan selepas 2019,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa gambaran penuh perjalanan projek penting bagi memastikan kesilapan tidak berulang dan penggunaan wang rakyat dapat dipertanggungjawabkan.