Projek naik taraf jalan Sabindo-Kinarut kini bermula, dijadualkan siap 2028

Projek naik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut kini memasuki fasa pelaksanaan selepas penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik.

Projek berimpak tinggi yang sekian lama dinantikan penduduk Papar itu akan dilaksanakan serta-merta dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, bermula 30 Mac 2026 hingga 29 Mac 2028.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek tersebut merupakan antara keutamaan yang perlu disegerakan.

“Syukur alhamdulillah projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut akan bermula serta-merta dengan tempoh pembinaan selama dua tahun.

“Kita faham projek ini adalah projek yang sudah lama dinantikan oleh masyarakat Papar dan merupakan projek mendesak yang perlu segera dilaksanakan.

“Daripada empat projek yang dibincangkan, projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut kini dalam pelaksanaan dan telah pun diserahkan SST kepada kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sesi taklimat status projek-projek infrastruktur utama Parlimen Papar di Pejabat Daerah Papar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Bahadar dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Infra), Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman.

Menurutnya, penyelarasan antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan projek berjalan lancar tanpa sebarang kelewatan.

“Banyak perkara awal perlu diselesaikan yang memerlukan penyelarasan, khususnya aspek status tanah dan pengalihan utiliti seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi,” jelasnya.

Antara skop projek termasuk menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong dua hala, pembinaan jejantas pejalan kaki, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta menaik taraf persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.

Dalam pada itu, projek turut melibatkan pembinaan perhentian bas, hentian motosikal, laluan berbumbung ke sekolah serta kerja pengalihan utiliti dan pengambilan tanah.

Tambah beliau, projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan utama Papar ke Kota Kinabalu.

Mengulas lanjut, Armizan turut menegaskan keperluan menyegerakan penyelesaian isu pengambilan tanah yang melibatkan 43 lot serta 24 struktur sedia ada di sepanjang jajaran projek.

“Kita mahu supaya tidak berlaku sebarang kelewatan. Ini cukup penting supaya kerja-kerja fizikal dapat dilaksanakan dan projek dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun yang ditetapkan,” ujarnya. ‎