KOTA KINABALU: Isu bekalan air di Tawau antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dengan Pengarah Jabatan Air Sabah di Wisma MUIS, di sini, pagi tadi.
Nizam berkata, pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mencari penyelesaian terhadap masalah bekalan air yang sekian lama menjadi antara isu penting dan memerlukan perhatian serius, khususnya bagi memastikan keperluan rakyat di Tawau dapat ditangani.
Menurutnya, isu berkenaan perlu dibincangkan secara menyeluruh bagi mengenal pasti langkah penyelesaian yang dapat membantu mengatasi kesulitan dihadapi penduduk.
Selain isu bekalan air, pertemuan itu turut membincangkan ruang kerjasama antara kementeriannya dengan Jabatan Air Sabah, terutama membabitkan keperluan fasiliti belia dan sukan di seluruh negeri.
Katanya, kerjasama antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan kemudahan yang disediakan untuk kegunaan rakyat sentiasa berada dalam keadaan baik, terurus dan kondusif.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama berkenaan demi memastikan kemudahan awam, khususnya yang berkaitan pembangunan belia dan sukan, terus mendapat perhatian sewajarnya.
Nizam merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Air Sabah atas kesudian mengadakan pertemuan serta perbincangan yang disifatkannya sebagai baik dan konstruktif itu.