Dadah Syabu Bernilai RM130,000 Dirampas Polis Tawau

Polis Tawau rampas dadah jenis syabu bernilai RM130,000 yang mampu digunakan oleh 4,000 penagih susulan penahanan seorang suspek dalam serbuan di kawasan Bandar Sri Indah, Tawau Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau.

Bertindak atas risikan dan maklumat dadah, lebih kurang jam 6.00 petang selasa lalu, Polis telah membuat serbuan dan tangkapan ke atas seorang lelaki berbangsa cina yang berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan Bandar Sri Indah Tawau.

2 Bungkusan Plastik Lutsinar Dirampas

“Hasil serbuan, pemeriksaan dalam kenderaan tersebut polis merampas 2 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2,076.66 gram”, katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pagi tadi.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek warga tempatan berumur 53 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, selain itu suspek juga memiliki rekod kes lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Hukuman Mati Menanti

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.

“Polis juga giat dalam usaha mengesan saki baki rangkaian pengedaran dadah di daerah ini,” katanya.

Ujarnya, Polis Tawau menegaskan mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan mengalukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat dan bersama membanteras kegiatan ini.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *