TAWAU: Sebanyak 16,000 naskhah al-Quran diagihkan kepada sekolah rendah, sekolah menengah, pusat pendidikan agama termasuk PASTI serta anggota keselamatan menerusi Program Bayu Kasih 6.0 yang berlangsung di Pejabat Parlimen Kalabakan, Taman Ria, Jalan Utara, di sini.
Ahli Parlimen Kalabakan, YB Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Iman Care, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Terengganu yang difahamkan telah mengedarkan lebih 100,000 naskhah al-Quran di Sabah setakat ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Iman Care kerana sanggup datang dari Terengganu bagi menjayakan program berkenaan, sekali gus membantu memperluas akses masyarakat terhadap kitab suci al-Quran.
Menurut Andi Suryady, sumbangan berkenaan diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima, khususnya dalam memperkukuh pendidikan Islam serta menyebarkan dakwah kepada masyarakat di daerah Kalabakan.
“Pada kali ini sebanyak 16,000 naskhah al-Quran disumbangkan. Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan sumbangan berkenaan digunakan sebaik-baiknya.

“Kita juga mendoakan agar Iman Care terus dapat melaksanakan usaha ini dan memperluaskan sumbangan ke kawasan lain, khususnya lokasi terpencil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pelaksanaan program berkenaan yang telah memasuki edisi keenam, dengan pengagihan ke sekolah-sekolah di kawasan pedalaman dijadualkan bermula pada petang hari program itu berlangsung.
Katanya, proses pengagihan ke kawasan jauh memerlukan perancangan dari segi masa dan kos logistik, justeru Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan turut bekerjasama membantu memastikan sumbangan itu dapat disampaikan dengan baik dan lancar.