TAWAU: Lelaki berusia 38 tahun yang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di Sulaman Sentral, Kuala Menggatal, Kota Kinabalu, berjaya ditahan di Tawau, hari ini.
Suspek dikenali sebagai Kusdino Paad ditahan kira-kira jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota Balai Polis Tawau bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan itu dilakukan hasil tindakan susulan serta maklumat berkaitan siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap lelaki tempatan itu membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit dan beg pinggang yang kemudian dirampas bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan masih diteruskan secara menyeluruh dengan meneliti semua bahan bukti yang diperoleh bagi melengkapkan kertas siasatan.
Dalam pada itu, Rosdi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan proses siasatan.
Terdahulu, pada 14 November lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan antara seorang lelaki dengan seorang peniaga makanan di Sulaman Sentral, Kuala Menggatal.
Susulan kejadian itu, polis mengeluarkan gambar serta maklumat identiti seorang lelaki yang diburu selepas dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian.
Penahanan di Tawau itu kini membolehkan polis meneruskan siasatan bagi melengkapkan kes berkenaan.