Parang panjang dan besi paip ditemukan bawah kerusi pemandu, enam lelaki ditahan di Tawau

Parang panjang dan besi paip ditemukan bawah kerusi pemandu, enam lelaki ditahan di Tawau

TAWAU: Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan polis selepas pemeriksaan sebuah kereta yang mencurigakan menemukan sebilah parang panjang dan sebatang besi paip bulat di kawasan Bandar Tawau, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 2.20 pagi oleh anggota Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah (Bit) di sekitar kawasan bandar.

Menurutnya, anggota bertugas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil tindakan menahan kereta berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan menemukan sebilah parang panjang lengkap dengan hulu dan sarung, selain sebatang besi paip bulat yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu.

parang

“Pemeriksaan lanjut terhadap enam lelaki yang berada di dalam kenderaan itu turut mendapati seorang daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Rosdi berkata, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan lima lelaki warga asing berumur antara 19 hingga 37 tahun.

Kesemua mereka yang bekerja sebagai nelayan kemudiannya dibawa bersama kenderaan serta barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Rosdi menegaskan polis akan terus mempergiatkan rondaan dan pemeriksaan bagi membendung sebarang kegiatan yang berpotensi mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang, tidak membawa atau menyimpan senjata berbahaya tanpa kebenaran serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.