Kisah Sabrin : Ditahan dalam perjalanan pulang memberi duit gaji kepada ibunya

Kisah Sabrin : Ditahan ketika dalam perjalanan pulang memberi duit gaji kepada ibunya

TAWAU – Mahkamah di sini pada 12 September menjatuhkan hukuman penjara 5 bulan terhadap Sabrin, 21 seorang Alumni Sekolah Alternatif di Semporna. Beliau didakwa tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kronologi Penahanan Sabrin

Pada 3 Ogos 2024, ketika berada dalam perjalanan ke rumah untuk melawat ibunya dan memberikan duit gaji, Sabrin ditahan pihak berkuasa. Beliau pada ketika itu memegang dokumen kad lepa-lepa, iaitu dokumen yang biasa digunakan komuniti Bajau Laut.

Berikutan itu, beliau ditangkap dan terus dibawa ke Tawau bagi melalui prosedur penahanan dan perbicaraan mahkamah. Perkara itu dimaklumkan Wan Shakila, Pengurus Borneo Komrad dalam satu temubual bersama wakil TawauKini pada Jumaat.

Pada 12 September semalam, Mahkamah Tawau menjadi saksi rayuan terakhir Sabrin ketika membela diri. “Saya merayu, saya bekerja untuk keluarga, saya sedang tanggung adik-adik saya yang masih sekolah” sahut Sabrin sebelum dijatuhkan hukuman penjara 5 bulan bermula dari tarikh beliau ditangkap.

Baca Juga : Sekolah Alternatif Tawau Anjur Konvokesyen Pertama

Suasana Mahkamah Tawau Sunyi & Sayu

Berita hukuman itu dimaklumkan aktivis dan guru Sekolah Alternatif, Mukmin Nantang melalui hantaran facebook beliau. Selain itu, beliau turut memberi gambaran suasana kamar mahkamah yang menjadi sunyi dan sayu mendengar rintihan dan rayuan Sabrin.

“Tiada salah, tiada jenayah. Bukan mencuri, bukan meminta sedekah, apatah lagi mengedar dadah… Seperti mahu pecah jantungku ketika diputuskan kau ke penjara!” – Luah Mukmin pada hantaran facebook beliau.

Dalam pada itu, aktivis dan guru Sekolah Alternatif, Syafie Mustan turut menyatakan bahawa perkara sama turut didepani ribuan masyarakat yang berstatus sama seperti Sabrin, orang-orang stateless (tanpa negara).

“Sabrin adalah satu daripada ribuan anak-anak tanpa negara (stateless) yang berisiko untuk di tangkap atas kesalahan tidak memiliki dokumen yang lengkap.”

“Lalu selepas ini apa? Selepas dia selesai menjalani hukuman penjara di Malaysia adakah pihak negara Filipina akan menerima dia sebagai warganegara ketika proses pemulangan atau pengusiran dilakukan.” – Ujar Syafie dalam sebuah hantaran di laman facebook miliknya.

Baca Juga : Peranan Aktivis Pendidikan – Bersama Wan Syakila

Kempen #SolidaritiSabrin Digerakkan

Mahasiswa dan Alumni Universiti Malaysia Sabah turut menyatakan solidariti dan persoalan sama terhadap nasib yang menimpa Sabrin.

Mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Kai Bidin menyatakan persoalan akan hukuman buat seorang remaja yang berusaha menjana ekonomi keluarganya.

Alumni Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS, Sabir Syarifuddin turut melontar kritik buat pemerintah (pihak berkuasa). Beliau berkata pihak mereka seharusnya malu akan nasib yang menimpa komuniti terpinggir, yang seharusnya menjadi tanggungjawab para pemimpin di Malaysia.

“Pemerintah berlumba-lumba mencipta nama dengan tangkapan-tangkapan. Tapi kalaulah direkodkan berapa banyak sudah dendam, tangis ibubapa, bayi minta disusu, suami isteri menunggu pasti pemerintah akan malu menjadi seekor manusia.” – Kritik Sabir pada hantaran di laman facebooknya.

Rentetan daripada itu, kempen dengan tanda pagar #SolidaritiSabrin digerakkan masyarakat secara meluas. Hal ini untuk memberi pendedahan dan advokasi akan risiko yang dihadapi komuniti terpinggir hampir setiap hari terutama orang-orang stateless (tanpa negara).

Baca Juga : Peranan Mahasiswa Bantu Masyarakat Setempat Perlu Dipertingkat


Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *