Ibadah, Ilmu dan Ukhuwah Jadi Teras, Nizam Puji Inisiatif Subuh Macam Jumaat

Ibadah, Ilmu dan Ukhuwah Jadi Teras, Nizam Puji Inisiatif Subuh Macam Jumaat

TAWAU – Masjid perlu terus diimarahkan bukan hanya pada hari Jumaat atau sepanjang Ramadan, sebaliknya menjadi pusat ibadah, menuntut ilmu dan mengeratkan silaturahim dalam kehidupan masyarakat setiap hari.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata semangat mengimarahkan masjid perlu dipupuk secara berterusan, termasuk menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai aktiviti keagamaan dan majlis ilmu.

Menurutnya, program seperti Subuh Macam Jumat membawa mesej besar dalam menghidupkan suasana masjid, selain membentuk masyarakat yang lebih dekat dengan agama dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Subuh Macam Jumat anjuran Kelab Sukan KMI Tawau Medical Center dengan kerjasama pihak pengurusan Masjid Bandar Tawau, yang berlangsung seawal jam 4 pagi, Sabtu.

Nizam berkata, beliau tertarik dengan konsep program itu yang mengajak masyarakat membawa semangat kehadiran ke masjid pada hari Jumaat kepada pelaksanaan solat Subuh secara berjemaah.

Katanya, kehadiran masyarakat pada awal pagi, khususnya pada hari cuti, menunjukkan kesungguhan mereka meluangkan masa untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan wajar diteruskan sebagai amalan harian.

“Kalau setiap hari Jumaat kita mampu memenuhi masjid, mengapa tidak kita membawa semangat ini untuk sama-sama menunaikan solat Subuh berjemaah?

“Mudah-mudahan selepas program ini, kita akan menjadi masyarakat yang sentiasa mengimarahkan masjid, walaupun tiada program khas, jamuan atau cabutan bertuah,” katanya.

Beliau turut menekankan tiga elemen utama yang diketengahkan menerusi program berkenaan iaitu ibadah, ilmu dan ukhuwah yang penting dalam membentuk komuniti harmoni serta sejahtera.

Menurutnya, ibadah mendekatkan manusia kepada Allah SWT, ilmu membantu memperbaiki diri dan meningkatkan kefahaman, manakala ukhuwah pula mengukuhkan hubungan serta perpaduan sesama masyarakat.

Dalam pada itu, Nizam memuji inisiatif KMI Tawau Medical Center yang bukan sahaja berperanan sebagai hospital mesra ibadah dan patuh syariah, malah turut mengambil bahagian dalam menyemarakkan budaya ilmu serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat

Beliau berharap lebih banyak organisasi, agensi dan syarikat swasta mengambil inisiatif sama dengan menganjurkan program yang memberi manfaat kepada komuniti, khususnya dalam memperluas aktiviti keagamaan.

Katanya, Tawau bukan sahaja perlu maju dari segi pembangunan dan ekonomi, tetapi turut mempunyai masyarakat berilmu, berakhlak mulia serta saling mengambil berat.

Mengakhiri ucapannya, Nizam merakamkan penghargaan kepada KMI  Tawau Medical Center, pengurusan Masjid Bandar Tawau, rakan strategik dan seluruh urus setia yang menjayakan program berkenaan.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha memelihara serta mengembangkan syiar Islam, selain menggalakkan generasi muda memahami tanggungjawab mereka dalam menjaga kemuliaan agama.