Tawau – Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah kembali pulih sepenuhnya pada pukul 9.02 malam, 29 November 2026, selepas Sabah Electricity berjaya menyambungkan semula laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur negeri ini.
Sabah Electricity menerusi satu kenyataan memaklumkan, penyambungan semula itu berjaya dilaksanakan melalui pengoperasian menara sementara Emergency Restoration System (ERS) di lokasi T313.
Langkah berkenaan membolehkan bekalan elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah dipulihkan sepenuhnya selepas mengalami gangguan sebelum ini.

Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Pengarah Sabah Electricity, barisan pengurusan, pasukan teknikal di lapangan, seluruh warga kerja serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan usaha pemulihan tersebut.
Penghargaan turut diberikan kepada pengguna, khususnya penduduk di Pantai Timur Sabah, atas kesabaran, pengertian dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik.

Dalam pada itu, pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan elektrik diminta menghubungi talian 15444 atau membuat laporan menerusi aplikasi mySE+.
Pemulihan sepenuhnya itu menandakan usaha penyambungan semula bekalan elektrik melalui laluan penghantaran berkenaan berjaya dilaksanakan, sekali gus membolehkan pengguna di Pantai Timur Sabah kembali menikmati bekalan elektrik seperti biasa.