TAWAU: Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa menjadi antara faktor penting dalam memastikan kecemerlangan akademik serta pembentukan sahsiah murid, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, tanggungjawab melahirkan pelajar cemerlang tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu guru, sebaliknya memerlukan sokongan dan penglibatan aktif ibu bapa, khususnya menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak mampu mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih positif, sekali gus membantu meningkatkan prestasi serta perkembangan murid.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Puncak Prestasi 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat Jalan Apas, Tawau.

Nizam turut merakamkan ucapan tahniah kepada guru besar dan seluruh warga sekolah atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.
Katanya, kehadiran serta sokongan ibu bapa dalam program sekolah membuktikan hubungan erat antara pihak pengurusan sekolah dan keluarga murid, sekali gus menjadi asas penting kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan.
“Saya selaku pemimpin yang ada di kawasan ini amat menghargai sokongan semua pihak kerana untuk memastikan kemenjadian murid, kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu semata-mata kepada warga guru.
“Peranan ibu bapa juga amat penting dalam memastikan kecemerlangan anak-anak yang belajar di sekolah ini,” katanya.
Beliau turut berharap setiap program yang dianjurkan pihak sekolah akan terus mendapat sokongan padu ibu bapa, manakala PIBG perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara warga pendidik dengan keluarga murid.

Menurutnya, kepimpinan dan komitmen pengerusi serta ahli jawatankuasa PIBG penting bagi memastikan komunikasi dan kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa sentiasa berjalan lancar.
Dalam pada itu, Nizam memberi jaminan akan terus menyokong pelaksanaan program pendidikan di kawasan berkenaan bagi membantu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dari Tawau.
Katanya, usaha itu diharap dapat membuka peluang kepada anak-anak tempatan untuk mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat sekolah menengah, malah sehingga ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, kecemerlangan pendidikan memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak agar potensi setiap murid dapat digilap dan dikembangkan sebaik mungkin.