TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah komited memajukan sebidang tanah di lapangan terbang lama sebagai kawasan pembangunan bercampur.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kawasan itu akan meliputi pembinaan hotel yang ada nilai komersial termasuk mendirikan lot rumah serta kedai.
“Semua ini membolehkan agar putaran kewangan ekonomi penduduk dapat dirancakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Tawau dan Kalabakan pada Rabu.
Mohd Shafie turut meminta Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew agar bersama memainkan peranan serta merealisasikan pembangunan yang diusahakan.
“Setakat ini saya ada bercakap dengan pelabur untuk memajukan tanah di lapangan terbang lama itu yang juga milik kerajaan negeri,” katanya.
Pada majlis itu dianggarkan 10,000 orang termasuk semua anggota kabinet negeri menghadiri sekali gus memeriahkan rumah terbuka anjuran Parti Warisan Sabah di Parlimen Tawau dan Kalabakan.
Terdahulu, Mohd Shafie bersama barisan anggota kabinet negeri mengadakan mesyuarat kabinet di Majlis Perbandaran Tawau yang pertama kali dalam sejarah diadakan di Tawau.
Mohd Shafie dalam ucapannya turut berkata akan memilih daerah lain untuk mesyuarat kabinet negeri seterusnya.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua pemimpin atasan turun padang dan mendekati rakyat untuk mengenal pasti masalah rakyat.
“Kalau turun ke bawah kita tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi, memang ada surat datang tapi tidak sama dengan kita turun padang, jangan tunggu pilihan raya umum baharu mahu menyelami masalah rakyat,” katanya.
–BERNAMA