Assalamualaikum wbt..
Hari ini baru dapat kekuatan untuk berkongsi.
Kejadian berlaku sekelip mata.
Sepanjang kejadian aku sedar. Kereta yang kami naik hilang kawalan. Aku cuma dengar tangisan di sebelah ku. Manakala di bahagian belakang sunyi tanpa suara..
Tidak lama kemudian Ambulans Bomba datang. Saat ini aku hanya teringat dan terbayang dua orang anak perempuan ku Aleeya dan Aleesya. Dan ia menjadi kekuatanku untuk keluar dari kereta.
Walaupun dalam keadaan yang sakit, aku berusaha juga keluar dari kereta melalui tingkap pintu yang pecah sebelah pemandu kerana itu saja satu-satunya jalan keluar yang aku nampak. Anggota bomba yang tiba bantu kami keluar. Aku sempat duduk, bingung sambil menahan sakit.
“Allahuakbar”
“Allahuakbar”
“Allahuakbar..”
Hanya itu ayat yang mampu aku ungkap berkali-kali sambil melihat keadaan kereta kami yang hampir menjunam ke sungai. Aku hanya mampu melihat kawan yang lain sedang diselamatkan, dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Aku cuba gerakkan tangan tapi gagal. Aku mula perasan, yang tangan kiri ku patah. Pernafasan ku tak lancar, dada tiba-tiba terasa sakit.
“Tolong dulu ambil beg saya..” Kataku dan meraba-raba beg untuk mencapai telefon menghubungi suami dan adikku Iqa. Aku dibawa menaiki Ambulans Bomba menuju ke bahagian kecemasan, Hospital Besar Tawau.
Setelah stabil, aku dipindahkan ke wad pembedahan wanita untuk rawatan susulan. Doktor kata dua tulang rusuk ku patah, belakang leher, bahu dan lengan kiri pun patah. Paru-paru juga bengkak akibat impak hentakan kuat.
Alhamdulillah, selepas 3 malam di tahan di wad, akhirnya doktor membenarkan aku pulang ke rumah. Keluarga menyambutku dengan tangisan syukur. Sekali lagi tanpa aku sedar, air mata ku turun membasahi pipi.
Ramai kawan-kawan yang ingin melawat. Tapi aku mohon maaf sebab emosi masih tidak stabil dan tidak bersedia menerima tetamu. Aku trauma. Masih teringat ingat. Terkejut.
Dalam tempoh berkabung, aku tertanya tanya. Apakah sebenarnya amalan yang mereka buat sehingga dimuliakan Allah pada saat pemergiannya? Kematian mereka didoakan dan ditangisi ramai orang.
Malam tu juga aku buka Al-Quran, berdoa, memohon kepada Allah SWT dan berharap agar diberi petunjuk. Dan ini yang aku temui
Dan orang yang sabar kerana mengharap keredhaan Tuhannya, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)
Surah Ar-Ra’d ayat 22
Selama berkenalan bersama kedua-dua arwah :
Jarang aku dengar mereka merungut. Tugasan sekolah yang dipertanggungjawabkan, mereka pasti galas dengan sebaiknya.
Mereka tidak pernah berkira. Malah suka bersedekah kepada murid-murid, kawan-kawan dan banyak melakukan aktiviti kerja amal diluar sekolah.
Selama bermusafir bersama di dalam kereta, lebih banyak aku dengar nasihat tarbiah daripada hanya perbualan kosong. Tutur kata yang sopan dan menenangkan hati.
Aku rasa bertuah dan bersyukur kerana diberi peluang mengenali mereka.
Namun persahabatan kami tidak panjang. 😠Allah lebih sayangkan mereka. Allah jemput mereka lebih awal dan menjadi bidadari syurga.
Semoga kedua-dua arwah tenang di sana. Setiap yang hidup juga pasti akan mati. Dan aku selalu mendoakan agar kita semua juga dapat beramal untuk bekalan di akhirat nanti sepertimana mereka dan mudah-mudahan kita dapat saling menyapa di taman syurga.
InshaAllah, minggu depan aku akan menjalani operation tulang. Semoga semuanya berjalan lancar.
Terima kasih juga kepada semua kawan-kawan dan keluarga yang tidak henti-henti mendoakan keselamatan dan kesembuhan kami. Allah saja yang dapat membalas budi kalian.
Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah (dibaca) kepada kawan kami yang telah terkorban.
Tidak lupa juga Kredit untuk suami ku Mohd Irfan sebab sanggup membantu menaip panjang lebar dan mengolah penulisan ini. 😌 Tak tahu buat ayat. Tapi begitulah..
Sumber: Cikgu Nurzairah Aladin