Kalau di Semenanjung Malaysia, Ketupat dan Lemang menjadi juadah wajib kepada orang Melayu di Aidilfitri, tetapi berbeza dengan masyarakat di Sabah terutamanya di Tawau, Burasak menjadi hidangan yang melengkapi Hari Raya. Selain dipanggil dengan nama Burasak, ia jugak popular dengan nama panggilan Buras.
Burasak biasanya di makan dengan hidangan ayam masak lengkuas ataupun nama “glamournya” ayam likkuk dalam Bahasa Bugis. Pada zaman dahulu kala, burasak bukan sahaja di makan pada hari raya, namun ianya menjadi kebiasaan kepada golongan orang tua bagi Masyarakat Bugis membekalkan anak dengan makanan itu sekiranya pergi bekerja atau bersekolah di tempat yang jauh.
Burasak Tahan Lama
Selain itu, menurut cerita orang-orang tua, Burasak ini jugak dijadikan sebagai bekalan untuk merantau daripada Sulawesi ke Sabah yang memakan masa lebih kurang lima hari. Hal ini kerana, sifat bagi masakan burasak itu sendiri adalah tidak mudah basi dan tahan lebih lama.
Apabila dikaitkan dengan zaman sekarang ini, selain daripada dijadikan juadah pada hari raya, Burasak juga akan menjadi menu pilihan ibu-ibu untuk membekalkan anak mereka dengan Burasak apabila ingin terbang ke perantauan setelah selesai bercuti di hari raya. Selain masyarakat di Sabah, masyarakat di Selangor dan Johor turut berkongsi juadah wajib yang sama.
Di entri kali ini, kita akan kongsikan cara-cara untuk membuat Burasak, mungkin berguna buat mereka yang akan merayakan hari raya di perantauan untuk tahun ini.
Cara-Cara Membuat Burasak
Bahan-Bahan :
1 Kg Beras
200 ml Air
250 ml Santan
Daun pucuk Pisang berukuran A4 – untuk membungkus
Garam secukup rasa
Daun pisang tua lebih kurang 20 inci
Cara Membuat :
1. Santan, Beras dan Garam dimasak terlebih dahulu seperti membuat nasi lemak.
2. Kemudian, nasi panasi ini dibungkus seperti lepat menggunakan daun pucuk pisang.
3. Ambil 5-6 bungkusan nasi ini dan disusun bertingkat serta dibalut semula dengan daun pisang tua.
4. Kemudian diikat dengan tali dan dikukus selama 5-6 jam sebelum dihidang.
Nota kaki :
Daun Pisang dipotong daripada urat daunnya, dibersihkan dan dilayurkan atas api terlebih dahulu sebelum digunakan supaya ia mudah dibentuk untuk membungkus.
Diharapkan entri kali ini dapat memberikan panduan kepada semua yang menggemarkan makanan ini.