Terima kasih kepada pengundi-pengundi saya di DUN N59 diatas kepercayaan yang diberikan kepada saya – Hamisa Samat

Assalamualaikum.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pengundi-pengundi saya di DUN N59 diatas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang amanah ini selama hampir 3 penggal iaitu mulai dari tahun 2008.


Sebagai wakil rakyat DUN Tanjung Batu selama 3 penggal ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang telah saya pikul untuk memberi pembelaan kepada masyarakat khususnya dalam memerangi kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi demi kelangsungan hidup yang lebih sempurna. 
Alhamdulillah, hari ini saya lihat rakyat di kawasan Tanjung Batu telah menikmati sebahagian dari nikmat pembangunan walau pun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan diperkemaskan agar terus maju kehadapan dan tidak ketinggalan berbanding dengan kawasan-kawasan lain. 
Tanggungjawab yang saya pikul selama ini telah saya cuba usahakan dan kerjakan dengan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya demi membalas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya selama ini.


Mungkin hasil usaha serta kerja saya selama ini masih belum mencapai kemahuan serta kehendak sebahagian dari rakyat di DUN N59 namun saya berharap mereka dapat berbincang bersama pemimpin masyarakat akan datang untuk terus mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang berkait rapat dengan isu-isu kehidupan mereka sehari-hari.

Saya redha dan menerima keputusan pucuk pimpinan tertinggi untuk tidak tercalon pada piliharaya negeri kali ini kerana mereka lebih mengetahui pemimpin mana yang terbaik untuk rakyat. Terima kasih atas sokongan semua rakyat Parlimen Kalabakan dan khususnya DUN Tanjong Batu selama ini. Semoga ALLAH berikan yang lebih baik.


Kepada rakan-rakan, semua pemimpin masyarakat yang berkhidmat dan berganding tangan bersama-sama saya untuk melaksanakan mandat Kerajaan, jutaan terima kasih saya ucapkan dan hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.
Kepada seluruh keluarga saya yang menjadi tulang belakang saya selama ini, semoga Allah terus memberi rahmatNya dan kita semua dibawah lindunganNya. 
Izinkan saya mengundur diri.
Hamisa Samat 
10 September 2020

Sumber: Facebook

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *