Tegur nasi belum masak, lelaki cedera ditetak di Tawau

Tegur nasi belum masak

TAWAU, 17 Mac 2026 – Seorang lelaki mengalami kecederaan di tangan selepas ditetak rakan sekerjanya dalam satu kejadian di sebuah restoran di kawasan Kubota Sentral, di sini.

Menurut polis, kejadian berlaku apabila mangsa yang berada di tempat kerja menegur rakan sekerjanya selepas mendapati nasi di restoran tersebut belum dimasak.

Namun teguran itu dipercayai mencetuskan kemarahan rakan sekerja berkenaan yang tiba-tiba bertindak di luar kawalan sebelum menetak bahagian tangan kiri mangsa menggunakan pisau pemotong ikan.

Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau sebelum satu laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin, berkata susulan laporan yang diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau telah menjalankan operasi mengesan suspek.

“Polis berjaya menahan suspek di sekitar kawasan tepi jalan Jalan Habib Hussein,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, suspek merupakan lelaki berusia kira-kira 21 tahun dan bekerja di restoran yang sama dengan mangsa.

Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 33 sentimeter serta sekeping plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *