TAWAU – Sebanyak 10 keluarga atau 47 individu yang terjejas akibat kejadian kebakaran di Kampung Hidayat, Batu 4, menerima sumbangan keperluan asas dan wang tunai daripada kerajaan negeri dalam satu program penyerahan bantuan yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Hidayat, hari ini.

Penyerahan tersebut disampaikan oleh YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, bersama YB Datuk Hamild Awang, ADUN Balung. Turut hadir dalam program itu ialah wakil daripada Pejabat Parlimen Tawau, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Tawau dan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Hari ini saya bersama-sama ADUN Balung dan wakil Parlimen Tawau hadir menyampaikan sumbangan berupa barang dapur dan wang tunai kepada 10 keluarga yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku tiga hari lalu,” kata Datuk Nizam ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan bantuan.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
8 Buah Rumah Musnah Dalam Kejadian Kebakaran
Menurut maklumat rasmi daripada pihak bomba dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, sebanyak lapan buah rumah musnah sepenuhnya. Manakala dua rumah lagi terpaksa dirobohkan bagi mengelakkan api merebak ke kediaman lain yang berdekatan.
Datuk Nizam menzahirkan rasa simpati terhadap semua keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan menasihati mereka untuk bersabar serta tabah menghadapi ujian tersebut.
“Musibah ini membawa banyak pengajaran untuk kita semua lebih berhati-hati di masa akan datang. Kita juga telah meminta Jawatankuasa Bencana Daerah memohon peruntukan khas bantuan wang ehsan kepada mangsa yang terlibat,” jelas beliau.
Beliau turut mengesahkan bahawa semua mangsa merupakan warganegara Malaysia. Oleh itu, mereka dibenarkan untuk membina semula kediaman di tapak asal. Namun hal ini bergantung kepada kelulusan dan garis panduan teknikal dari pihak berkuasa.

“Jika ada keperluan segera, mangsa boleh memohon bantuan secara ad-hoc kepada pihak yang berkaitan,” katanya.
Program ini merupakan langkah awal bantuan kecemasan kepada mangsa. Manakala bantuan susulan seperti wang ehsan dan sokongan keperluan lain sedang dalam proses permohonan dan akan disalurkan secara berperingkat.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.