“Dari semua pekerjaan berat, salah satu yang paling sulit adalah menjadi guru yang baik”.
-Maggie Gallagher
Tangan seorang yang hebat mampu melahirkan karya yang terbaik, tapi di tangan seorang guru mampu melahirkan berjuta orang yang hebat. Begitulah jasa dan hasil didikan guru yang menjadikan siapa kita hari ini. Pengorbanan seorang guru untuk anak-anak muridnya tidak dapat dinafikan mahupun dipersoalkan. Bagi pelajar yang tinggal di asrama pula, selain bergelar pendidik guru juga adalah insan yang menjalankan peranan sebagai ibu bapa. Segala sakit dan kesusahan, guru menjadi tempat utama rujukan.
Guru MRSM Tawau Menjaga Kebajikan dan Keselamatan Pelajar-Pelajar Sampai Ke Rumah
Tindakan guru Maktab Rendah Sains MARA Tun Mustapha Tawau mendapat perhatian atas usaha mereka untuk memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar sampai di rumah masing-masing setelah mendapat arahan pengosongan asrama daripada pihak pengurusan.
Perasaan Bercampur Baur Ketika Pengumuman Dibuat
Hasil temubual atas talian seorang pelajar MRSMTMT, Hamizan Naeem Bin Hazlan (Homeroom Salmiawati) yang berasal dari Beaufort, beliau bercerita serba sedikit pengalaman dan info mengenai misi penghantaran pulang ini. Hamizan berkata, semua pelajar dikumpulkan di dataran dan pengumuman dibuat oleh Ustaz Syukri dan pengetua. Mereka mendapat arahan untuk mengosongkan asrama dan pulang ke rumah pada hari Sabtu malam. Perasaan yang bercampur baur, gembira dan sedih menyelubungi dirinya ketika pengumuman itu dibuat.
Menurut Hamizan, perjalanan bermula pada hari Selasa pukul 8 pagi dari Tawau dan berhenti sebentar di Lahad Datu untuk menurunkan beberapa orang pelajar. Mereka kemudiannya berhenti di sebuah restoran daerah Telupid untuk makan tengah hari dan menunaikan solat. Selain itu, mereka turut berhenti berehat di Kundasang sebelum meneruskan perjalanan ke destinasti seterusnya iaitu di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Selepas selesai misi menghantar pelajar di Padang Merdeka, guru pengiring meneruskan misi untuk menghantar 4 orang pelajar yang berasal dari Labuan ke Menumbok pada keesokkan harinya (Rabu, 11 Nov 2020).
Hamizan, yang juga merupakan pelajar Tingkatan 2 itu berasa sangat seronok sepanjang perjalanan malah sempat bervideo-call secara beramai-ramai dari setiap bas. Sebelum bertolak, semua pelajar bersarapan seperti biasa dan dibekalkan roti berintikan kaya untuk minum pagi. Manakala untuk makan tengah hari pula, mereka dibekalkan dengan nasi lalap. Misi ini melibatkan 5 orang guru pengiring dan diketuai oleh Ustaz Ahmad Syukri selaku Ketua Pergerakan.
Saya bersama rakan-rakan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada abuya, Tuan Haji Mohd Nizar dan semua pentadbir iaitu Ustaz Zakaria, Miss Diana dan Cikgu Musimar, guru-guru homeroom, semua guru serta AKP dan guru unit asrama yang diketuai oleh Ustaz Syukri dan guru-guru yang mengiring kami iaitu, Ustaz Syukri, Sir Adam, Cikgu Fikri, Teacher Izzati dan Ustazah Putri. Terima kasih kerana menjaga dan mengiring kami sepanjang misi menghantar kami balik ke pangkuan keluarga. Semoga Allah memudahkan perjalanan balik ke Tawau. Akhir sekali, semoga kita semua dapat menjaga diri dan hidup dalam norma baharu. #kitajagakita #sayangmrsmtmt
Guru Bukan Makan Gaji dan Duduk Rumah Tengok Telefon Tunggu Gaji Masuk
“Semoga kisah kali ini membuka mata masyarakat kita diluar sana yang guru-guru bukan makan gaji buta sahaja duduk rumah tengok telefon dan tunggu hujung bulan dapat gaji. ” – Ustaz Ahmad Syukri, ketua warden Maktab Rendah Sains MARA Tawau.
Akhir kata, terima kasih kepada semua guru-guru yang telah berpenat lelah dalam mendidik anak murid dan sanggup mengorbankan diri dan keluarga demi anak murid. Walaupun Hari Guru telah berlalu, namun ucapan terima kasih tidak pernah luput untuk diucapkan untuk guru-guru. Tanpamu guru, siapalah kami.
Terima kasih cikgu !
sumber :
Related