Apa yang kita lihat, itulah yang akan kita dapat. Inilah prinsip atau sunnahtullah dalam kehidupan. Kita tidak mungkin dapat apa-apa yang tidak dilihat. Maksud lihat di sini bukan dengan pandangan mata, tetapi pandangan fikiran dan hati. Justeru untuk mendapat kebaikan dalam kehidupan, betulkan dahulu “cara pandang” kita, pandangan mata hati dan fikiran.
Cara pandang hati dan fikiran mesti baik atau positif, barulah kita akan mendapat kebaikan dan hasil yang positif. Inilah yang selalu dipesankan oleh para ulama dan pakar-pakar motivasi “Mesti sentiasa berfikiran positif”.
Berfikiran positif bukanlah menafikan realiti sehingga hitam pun dikata putih. Sebaliknya melihat yang hitam dengan hati dan fikiran yang putih. Sehingga dengan itu, seseorang mampu mendapat yang putih daripada yang hitam. Bukankah penawar patukan ular datang daripada air bisa yang hitam?
Lawan sangka baik ialah sangka buruk. Jika sangka baik datang daripada iman dan ilham oleh para malaikat, sangka buruk pula datang daripada nafsu dan waswas syaitan. Orang yang bersangka buruk, bukan sahaja melihat yang jahat sebagai jahat, malah yang baik pula dilihat jahat. Hasil daripada melihat dengan hati dan fikiran yang jahat, maka dia akan sentiasa mendapat kejahatan dan keburukan dalam hidup.
Sangka Buruk Akar Fitnah
Islam sangat melarang umatnya bersangka buruk. Allah menegaskan : “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu ialah dosa (Al-Hujurat 49 : 12)
Allah melarang sikap bersangka buruk yang akan menggugat persaudaraan. Mustahil hidup bermasyarakat akan aman sekiranya sifat bersangka buruk menjadi budaya. Rasulullah bersabda : “Jauhilah bersangka-sangka bicara paling dusta ” (Riwayat Al Bukhari Dan Muslim). Buruk sangka itulah punca yang akan menimbulkan fitnah dan umpat.
Cari Alasan Untuk Bersangka Baik
Seorang Mukmin seharusnya tidak menzahirkan sebarang sangka buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan Rasulullah “Allah tidak akan melihat niat buruk seseorang sehinggalah dia menyuarakannya atau melakukannya” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Sayyidina Umar Al-Khattab berkata, “Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga”.
Misalnya, jika seseorang tidak menepati masa yang dijanjikannya pada kita, maka berilah alasan pada diri sendiri dengan beranggapan dia sakit, terlupa atau pelbagai alasan lagi. Bersangka baiklah walaupun mungkin dia tidak sebaik yang disangkakan. Sekurang-kurangnya sangka baik dapat menyelamatkan diri kita daripada perasaan marah, kecewa dan sedih berpanjangan.
Tegurlah Walaupun Bersangka Baik
Sikap bersangka baik bukan penghalang untuk memberi teguran, nasihat bahkan amaran sekiranya kesalahan dan kemungkaran berlaku secara terang-terangan dan berulang kali. Ertinya, sangka baik perlu disertai dan diimbangi dengan sikap rasional dan berhati-hati.
Sangka baik, dapat baik. Begitulah prinsip perjuangan yang diamalkan oleh pemimpin-pemimpin besar yang menginginkan kebaikan buat bangsa, rakyat atau umatnya. Rasulullah sendiri ketika dibaling batu ketika berdakwah di Taif, terus bersangka baik kepada umat Baginda dengan mendoakan, “YaAllah, ampunkan kaumku kerana mereka tidak tahu, Aku mengharap zuriat mereka kelak akan beriman kepada seruanku”.
Related