Beramal Bukan Meramal Hari Kiamat ~ Ustaz Muhammad Nazraan Al Hafidz

Sebelum datangnya hari kiamat, Nabi Muhammad SAW mengisyaratkan kepada kita bahawa hari yang disebutkan sebagai As-Sa’ah, adalah pengetahuan yang dirahsiakan oleh Allah SWT daripada manusia.

Sebab itu Allah mengajarkan kepada nabi, “Wahai Muhammad, apabila hambaku atau ummatmu bertanya tentang hari kiamat, katakanlah kepada mereka hari kiamat itu pengetahuannya hanyalah di sisi Allah SWT”. Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri pun tidak mengetahui bila berlakunya hari kiamat apatah lagi kita sebagai manusia biasa. 

Namun, Nabi Muhammad SAW banyak memberikan isyarat dan petanda-petanda bila akan datangnya hari kiamat. Sebab itu kita sebagai umat Islam percaya bahawa kiamat itu mempunyai dua tanda yang disebut sebagai tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar.

Cabaran Akhir Zaman

Sekarang kita sedang hidup di zaman di mana akidah kita akan diuji. Sebab itu zaman skerang kita menerima pelbagai ‘mesej-mesej berantai’ di pelbagai saluran media sosial yang bertujuan untuk menakut-nakutkan kita bahawa hari kiamat itu seakan-akan terlalu hampir dengan kita. 

Benarlah Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berhati-hati dan bersedia dengan hari kiamat tetapi jika kita mengatakan bahawa kiamat itu sudah hampir dengan berpandukan fakta-fakta yang disebarkan melalui media sosial, sebenarnya iman kita sedang diuji kata para ulama. Sebenarnya fakta-fakta berkenaan hari kiamat adalah sengaja direka-reka oleh orang barat untuk menggoyangkan keimanan kita kepada Allah SWT. 

Sedangkan fakta hari kiamat itu Allah SWT sudah isyaratkan melalui lisan Nabi Muhammad SAW. Tanda-tanda kiamat itu telah disebarkan dan disampaikan kepada kita melalui lisan baginda. Jadi mengapa orang yang mengaku beriman kepada Allah dan nabi boleh percaya dengan fakta-fakta yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji barat? Sedarlah bahawa mereka itu sengaja mengalihkan keimanan kita dan keyakinan kita kepada hadis berubah kepada fakta-fakta yang mereka berikan. 


Perbezaan Ringkas Tanda-Tanda Kecil & Tanda-Tanda Besar Hari Kiamat

Para ulama menyebutkan tanda-tanda kecil kiamat itu terlalu banyak dan sudah berlaku sepenuhnya manakala tanda-tanda besar kiamat pula ada sepuluh tetapi tidak ada satu pun lagi yang kelihatan. 

1) Tanda-tanda kecil kiamat

Hanya mampu dilihat di beberapa tempat sahaja dan tidak mampu dilihat oleh umat Islam di tempat yang lain. Sebagai contoh manusia berlumba-lumba untuk membangunkan banguan yang tertinggi dan bangunan-bangunan tersebut hanyalah dapat dilihat oleh orang yang berada dekat dengan bangunan itu dan tidak dapat dilihat oleh orang yang jauh dari banguan tersebut. 

2) Tanda-tanda besar kiamat 

Para ulama mengatakan di antara sepuluh tanda besar kiamat itu, tanda yang terawal yang akan keluar adalah keluarnya Dajjal laknattullah. Perbezaannya adalah apabila tanda-tanda besar ini berlaku seluruh dunia akan dapat melihatnya. Sebagai contoh, apabila Dajjal keluar, Dajjal akan mengelilingi bumi selama  empat puluh hari dan semua manusia pada ketika itu akan dapat melihatnya.


Kesimpulan 

Agama Islam tidak pernah mengajarkan kita untuk meramal hari kiamat. Malah, Allah SWT memerintahkan kita untuk beramal untuk mempersiapkan diri menghadapi hari kiamat yang sangat dahsyat. Janganlah kita mudah terpedaya dengan agenda-agenda barat yang merosakkan akidah kita sebaliknya marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Hadis yang lagi benar dan tepat ajarannya. 


Sumber : Youtube Channel Bro Jep TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *