Tradisi Magombo’ Dalam Masyarakat Bajau

Setiap bangsa di dunia ini memiliki sistem kepercayaan yang tersendiri termasuklah masyarakat di Malaysia. Umumnya, masyarakat Melayu memiliki sistem kepercayaan yang telah dicernakan daripada beberapa fahaman dan kepercayaan seperti animisme, Hindu-Buddha dan juga pengaruh agama Islam. 

Termasuklah etnik Bajau yang berada di Sabah. 

Sistem kepercayaan mereka pada hari ini walaupun berpaksikan agama Islam, namun ia tetap dipengaruhi oleh kepercayaan tradisi mereka sebelum menganut agama Islam. 

Amalan Tradisi Magombo’ Dalam Masyarakat Bajau

Terdapat satu kepercayaan yang unik dalam adat masyarakat Bajau Semporna iaitu percaya kepada roh leluhur nenek moyang yang dinamakan ombo’ dalam istilah bahasa Bajau Semporna. Kepercayaan ini sebenarnya sudah kurang dipraktikkan namun masih ada yang mengekalkannya. 

Masyarakat Bajau percaya bahawa roh nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia mampu memberikan pertolongan kepada mereka khususnya pertolongan yang melibatkan bala atau musibah. 

Berasaskan kepercayaan ini, roh tersebut perlu dihormati dan wajib dilaksanakan beberapa ritual untuk memohon perlindungan dan juga mengelak dari musibah daripada mereka.

Amalan tradisi yang berdasarkan kepercayaan kepada ombo’ ini dikenali sebagai magombo’. 

Memuja Roh Leluhur Nenek Moyang

Magombo’ merupakan amalan orang Bajau untuk memuja roh leluhur nenek moyang dengan tujuan memohon rahmat dan kesejahteraan hidup. 

Masyarakat Bajau percaya bahawa roh leluhur nenek moyang mempengaruhi kehidupan manusia di dunia. Istilah lain yang sinonim dengan magombo’ ialah magmatalau, hinang kok taun, magpaii-bahau dan magduwata

Magombo’ atau magduwata merupakan ritual yang paling kompleks bagi komuniti Bajau di Semporna yang diwarisi sejak lama dahulu yang diperturunkan melalui jin yang merupakan pewaris rasmi langkapan. 

Langkapan

Langkapan ialah barang pusaka atau barang warisan nenek moyang yang ditinggalkan kepada generasi selepas mereka dengan tujuan untuk disimpan sebagai tanda peringatan hasil pemberian nenek moyang.

Barang pusaka atau warisan ini mesti dijaga dengan rapi. Ada antara barang pusaka tersebut yang mempunyai pantang larang tertentu seperti tidak boleh dilangkah, tidak boleh dipijak, tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak dan lain-lain untuk mengelakkan hal buruk terjadi. 

Upacara ritual magombo’ biasanya akan dilaksanakan pada setiap tahun dan dilakukan mengikut tatacara tradisi, keagamaan dan melibatkan orang yang memelihara jin. 

Memberi Makan Kepada Roh

Ritual magombo’ melibatkan jamuan besar-besaran yang juga dikenali sebagai magjamu. Magjamu dalam upacara magombo’ merupakan satu simbolik upacara untuk memberi makan kepada roh nenek moyang. 

Mereka mempercayai roh semangat dan jin mempengaruhi kehidupan manusia di dunia. Sajian yang menjadi kesukaan nenek moyang mereka ialah padi baru (paii-bahau).

Ketika bermulanya upacara ritual magombo’, semua ahli keluarga yang terlibat akan bergotong royong menyiapkan bahan-bahan untuk upacara magombo’. Kebiasaannya, peralatan yang digunakan dalam upacara pemujaan ini termasuklah dua gantang padi yang belum ditumbuk, sehelai tikar, daun, beras, pulut, sebiji kelapa tua, kulit kayu dan juga gurul (sejenis gelas yang diperbuat daripada tembaga). 

Memandangkan upacara magombo’ diketuai oleh ‘orang yang berjin’ (orang yang memelihara jin), oleh itu peralatan tetap disediakan untuk ‘upacara berjin’. 

Antaranya, kain kuning dan kain putih yang panjangnya kira-kira lima meter, kemenyan, parasappan (bekas untuk meletakkan bara api), minyak wangi cap air mata duyung, mayang pinang, satu gelas air, dan beras kuning. 

Sehari sebelum upacara magombo’ ini, waris akan membawa barang pusaka seperti sepersalinan pakaian nenek moyang, kain putih, dan kain kuning yang digunakan untuk berubat dan tapak sirih akan diletakkan di satu tempat khas (nipatengko). Kesemua peralatan ini akan dipamerkan dan dipersembahkan untuk upacara jamu nenek moyang.


Sumber: https://borneojournal.um.edu.my/index.php/BRJ/article/view/10200

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *